Generasi muda berpendidikan tinggi sertai pertanian

Dato’ Husain Awang
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta menyatakan apakah perancangan bagi menarik lebih ramai generasi muda yang berkelulusan pendidikan tinggi untuk terlibat dalam sektor pertanian dan perhutanan.

- Advertisement -

Senator Dato’ Husain Awang bertanyakan perkara itu dalam soalan kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Negara, hari ini.

Berikut ialah soalan-soalan daripada wakil PAS, Bersatu dan Gerakan yang disenaraikan pada persidangan Dewan Negara, hari ini.

Tuan Sr. Haji Mohd Apandi bin Mohamad minta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan apakah langkah-langkah Kerajaan dalam memastikan masalah kekurangan bekalan telur dalam pasaran tidak berulang.

Tuan Ak Nan A/L Ehtook minta Menteri Perpaduan Negara menyatakan apakah kemajuan yang telah dicapai bagi program dan aktiviti yang terkandung dalam Dasar Perpaduan Negara dan sejauh manakah dasar ini diguna pakai oleh Kementerian/jabatan lain untuk menangani isu perpaduan seperti diskriminasi dalam pelbagai bidang seperti sukan, perkhidmatan awam dan pendidikan.

Tuan Balasubramaniam a/l Nachiappan minta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menyatakan adakah pihak Kerajaan menyediakan insentif atau subsidi bagi peruncit yang mengadakan inisiatif menu rahmah bagi tujuan mengekalkan kelangsungan menu tersebut.

Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai minta Menteri Pendidikan menyatakan:-

(a) bagaimanakah Kementerian akan menyelia caj yuran PIBG di peringkat sekolah yang kian membebankan pihak ibu bapa; dan

(b) Kerajaan sebelum ini telah pun memansuhkan setiap bentuk yuran di peringkat sekolah dalam usaha mengurangkan beban kewangan pihak ibu bapa. Malangnya, masih terdapat sekolah yang mewajibkan pelajar memberi ‘sumbangan’ bagi program sekolah. Adakah Kementerian sedar akan perkara ini, dan bagaimanakah Kementerian memantau keadaan sebegini agar ia tidak menyusahkan para ibu bapa dan penjaga.

Dato’ Haji Husain bin Awang minta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan apakah perancangan Kerajaan bagi menarik lebih ramai generasi muda yang berkelulusan pendidikan tinggi untuk terlibat dalam sektor pertanian dan perhutanan.

Datuk Bobbey Bin Suan minta Menteri Dalam Negeri menyatakan apakah inisiatif Kerajaan dalam menangani isu kewarganegaraan kanak-kanak yang dilahirkan oleh pasangan bukan warganegara dan pasangan luar nikah yang dilihat secara tidak langsung akan mengundang pelbagai masalah sosial sekiranya gagal ditangani pada peringkat awal lagi.

Tuan Ir. Md. Nasir bin Hashim minta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menyatakan apakah kaedah pengawalan harga bagi bahan-bahan makanan.

Dr. Wan Martina binti Wan Yusoff minta Menteri Ekonomi menyatakan apakah pelan tindakan jangka masa pendek dan sederhana Kerajaan untuk merapatkan jurang antara wilayah atau negeri khususnya dalam memajukan wilayah atau negeri yang masih kurang membangun.

Datuk Razali bin Idris minta Menteri Pengangkutan menyatakan sejauh manakah keberkesanan kamera Automated Enforcement System (AES) dalam menangani masalah kemalangan lebuh raya sejak dikuatkuasakan pada 23 September 2012.

Tuan Balasubramaniam a/l Nachiappan minta Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim menyatakan apakah jaminan Kerajaan dalam menyelesaikan isu tebatan banjir dan bencana banjir yang saban tahun melanda di seluruh Malaysia, khususnya di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor.

Datuk Teo Eng Tee @ Teo Kok Chee minta Perdana Menteri menyatakan adakah Kerajaan bercadang untuk mengehadkan tempoh memegang jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal, iaitu sepuluh tahun dan jika ya, mohon jelaskan rangka implementasinya.

Tuan Jaziri Alkaf Abdillah Suffian minta Menteri Pendidikan menyatakan apakah langkah-langkah Kementerian dalam meningkatkan pendedahan Sustainable Development Goals (SDG) dalam kalangan para pelajar memandangkan ia boleh memberi impak positif kepada cara pemikiran yang holistik dan global yang menyumbang kepada pembangunan kemahiran abad ke-21 yang amat diperlukan oleh para pelajar pada masa kini.

Datuk John Ambrose minta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi menyatakan apakah program-program dan inisiatif yang telah disediakan untuk membantu usahawan khususnya di Sabah dan berapakah jumlah peruntukan yang disediakan serta yang telah dibelanjakan oleh Kerajaan.

Datuk Bobbey Bin Suan minta Perdana Menteri menyatakan prestasi deposit simpanan haji Tabung Haji dan sejauh manakah dana simpanan ini dilabur dan diniagakan untuk tempoh kewangan 2022 agar kadar pulangan dividen lebih baik pada tahun akan datang.

Dr. Wan Martina binti Wan Yusoff minta Menteri Dalam Negeri menyatakan adakah Kerajaan berhasrat untuk mewajibkan lulus ujian Bahasa Melayu sebagai syarat utama untuk menjadi warganegara Malaysia.

Dato’ Haji Husain bin Awang minta Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan menyatakan apakah pelan jangka masa panjang Kementerian bagi membantu usaha pemodenan dan pembangunan bandar-bandar di negeri-negeri Pantai Timur sehingga kini.

Tuan Sr. Haji Mohd Apandi bin Mohamad minta Menteri Sumber Manusia menyatakan apakah langkah untuk menambah baik pemadanan antara bidang kelulusan graduan dengan jenis pekerjaan yang ditawarkan dalam negara.

Tuan Ak Nan A/L Ehtook minta Perdana Menteri menyatakan apakah tindakan yang telah diambil bagi menangani halangan untuk Kerajaan melaksanakan cadangan agar diwujudkan satu jawatan Timbalan Menteri yang bertanggungjawab mengenai agama-agama selain Islam yang dianuti oleh kira- kira 40% rakyat Malaysia. – HARAKAHDAILY 3/4/2023

- Advertisement -