Khatam al-Quran sepanjang tarawih di seluruh Pahang

- Advertisement -

BENTONG: ‘Program Khatam Al-Quran Sepanjang Tarawih’ (KAST2.0) 1444H/2023 anjuran Sahabat Huffaz Pahang menawarkan kelainan bagi memuliakan Ramadan dengan khatam Al-Quran ketika solat tarawih.

- Advertisement -

Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Dato’ Abdul Zaki Mohd Zain berkata, program itu sangat baik dan dialu-alukan jemaah mengambil peluang.

“Saya berharap ia dapat diperluaskan ke daerah di seluruh Pahang pada masa hadapan bagi memberi peluang kepada guru-guru hafiz untuk mengulangi bacaan al Quran sempena Ramadan,” katanya ketika merasmikan program tersebut.

Program tersebut diadakan di Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UNIPSAS) malam tadi. Seramai 52 imam menerajui program terbabit.

Penganjur mengekalkan kolaborasi tiga masjid sekitar Kuantan bagi menjayakan program berkenaan yang diadakan dengan kerjasama Mahaad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP).

Turut terbabit Lajnah Pendidikan PASKIM, Maahad Tahfiz Darul Fikri (MTDF) dan Maahad Tahfiz Al Istiqamah (MTIS), Temerloh.

Masjid UNIPSAS dipilih sebagai destinasi 10 malam pertama khatam al Quran sepanjang tarawih. Kemudian berpindah ke Masjid Sultan Ahmad Shah UIAM, Kuantan dan Masjid Al Hidayah, Paya Besar untuk 10 akhir Ramadan.

Sempena perasmian tersebut turut diadakan gimik penyerahan sumbangan dari Majlis Ugama Islam Pahang (MUIP) kepada Pertubuhan Sahabat Huffaz Pahang.

Sebanyak RM20,000 bagi pengurusan program KAST2.0 dan RM100,000 kepada Masjid KUIPSAS untuk program Ihya Ramadan.

Turut diagih sumbangan bernilai RM312,000 kepada Maahad Tahfiz Madrasah dan Pondok Pahang bagi menjayakan program pengimarahan Ihya Ramadan. – HARAKAHDAILY 23/3/2023

- Advertisement -