Alangkah baik lawatan menteri turut dijemput Exco

Dato' Dr Mohamed Fadzli Hassan
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kelantan berharap kerajaan pusat dapat meneruskan projek Jalinan Digital Negara (JENDELA) bagi memantapkan infrastruktur telekomunikasi serta pembangunan ekonomi digital.

- Advertisement -

Exco Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi negeri, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, projek itu turut membabitkan pembinaan menara telekomunikasi.

Katanya, sebanyak 129 menara telekomunikasi dirancang dibina di seluruh jajahan di Kelantan, di mana 65 masih lagi dalam pelaksanaan, manakala 64 siap sepenuhnya.

“Kita harap kerajaan pusat sekarang dapat meneruskan usaha kerajaan sebelum ini bagi meneruskan pembinaan projek tersebut.

“Saya dimaklumkan Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil datang ke Kelantan melawat menara baru-baru ini, tetapi alangkah baik kita juga dijemput bagi memastikan kerjasama dapat dikekalkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mohd Rusli Abdullah (PAS-Wakaf Bharu) pada persidangan Keempat Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di sini, hari ini.

Dr Mohamed Fadzli berkata, pelaksanaan JENDELA fasa pertama bermula 2020 hingga 2022 dan fasa kedua pada 2023-2025 untuk memastikan jaringan internet dapat diperluaskan.

Sejak empat tahun lalu katanya sebanyak 64 menara telekomunikasi siap dibina, manakala 65 baki daripada 129 jumlah menara dirancang akan siap pada hujung tahun ini.

“Selain pembinaan menara baharu program JENDELA turut melibatkan naik taraf stesen pemancar iaitu sebanyak 1,925 dirancang dan 1,921 daripadanya sudah mula beroperasi.

“Begitu juga dengan premis tersedia dengan gentian optik perancangan awal 82,370 premis terlibat dan hampir separuh daripadanya sudah siap,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 20/3/2023

- Advertisement -