TINDAKAN pemimpin kanan DAP Hannah Yeoh yang juga Menteri Belia dan Sukan yang memetik nama Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man (TITM) berkenaan dialog antara agama di negara, hanyalah cubaan menjolok sarang tebuan bagi mengalih perhatian rakyat dari skandal melibatkan projek Sungai Klang secara rundingan terus melibatkan Menteri Besar Selangor YAB Amiruddin Saari.
Pemuda PAS Selangor yakin tindakan mereka itu menunjukkan sikap berat sebelah yang ketara apabila mereka memetik pandangan TITM daripada perspektif parti DAP yang memperjuangkan negara sekular dalam Perlembagaan parti mereka. Tindakan memainkan isu keharmonian antara agama ini adalah dibuat bagi menutup mata terhadap isu lebih besar, iaitu skandal Menteri Besar, yang melibatkan implikasi kewangan RM117 juta milik rakyat Selangor.
Pemuda PAS Selangor juga menyelar sikap DAP yang dilihat seperti singa dalam isu lawatan ke rumah ibadat bukan-Islam tetapi menjadi tikus apabila menyentuh isu skandal Menteri Besar Selangor.
Tindakan DAP ini hanya menunjukkan perangai berat sebelah apabila melibatkan isu integriti di sebelah PH selaku parti yang memerintah di Selangor. Tidak sukar untuk lihat bahawa motif sebenar DAP adalah untuk mengalih perhatian orang ramai dari skandal Selangor dan pendakwaan terpilih yang pernah mereka perjuangkan dulu terutamanya dalam isu mendiang Teoh Beng Hock.
Menjelang Pilihan Raya Umum Negeri Selangor ke-15, PAS dan rakan-rakannya di Selangor komited mendukung Budaya Politik Matang, Sejahtera dan memimpin Gelombang Hijau bagi memperjuangkan integriti dan sifar rasuah di negeri ini.
MUHAMMAD HANIF JAMALUDDIN
Timbalan Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Selangor – HARAKAHDAILY 17/3/2023
DAP membisu projek rundingan terus RM700j Sg Klang
- Advertisement -