Ada 3 golongan, anda yang mana?

- Advertisement -

DALAM hidup bersyariat ini, semenjak dari zaman purbakala, ada tiga golongan yang disebut dalam al-Quran. Golongan pertama ialah si pelaku dosa. Sama ada pelakunya pelaku teras, ketua pendosa atau yang jenis pelaku kecil, ikut-ikutan dan peruncit kecil-kecilan sahaja kata orang. Mereka yang tidak kisah dan gembira hidup dengan dosa.

Golongan kedua ialah individu atau kumpulan beriman yang mencegah dosa-dosa itu dari dilakukan atau mengajak si pelaku dosa kepada jalan taubat, jika ia sudah dilaksanakan. Mereka amat sensitif dengan perkara dosa dan amat takut dengan azab Allah. Mereka mempunyai ilmu yang benar mengenai perkara salah dan betul, tulen dari al-Quran dan Hadis. Dua golongan ini sudah dimaklumi semua.

Dan dalam usaha cegahan itu pula, akan ada tiga peringkat sebagaimana yang disebut oleh Rasulullah iaitu mencegah dengan tangan iaitu dinisbahkan dengan kuasa yang dalam kemampuan kita. Selepas itu, melarang dengan lisan dan kemudiannya terakhir, wajib membenci dalam hati, jika tidak mampu melaksanakan dua usaha mencegah dosa di atas.

Pada kebanyakan masa, larangan dengan lisan adalah yang paling banyak dilakukan oleh para Anbiyak, tidak dengan tangan atau kuasa kerana kuasa itu, bukan kepada semua Allah berikan. Hanya sedikit para Anbiyak diberikan kekuatan untuk berkuasa. Tetapi lidah, semua para Nabi dan Rasul, mempunyainya. 

Hatta diriwayatkan Nabi Musa yang agak pelat percakapannya, meminta Nabi Harun sebagai pembantunya dan mereka berdua menggunakan kebijaksanaan berhujah dengan Firaun sama seperti Nabi Ibrahim terhadap Namrud. 

Tetapi untuk mencapai sehingga ke tahap pemerintah negara, mereka mesti melalui proses berpolitik. Pada zaman dahulu, demi untuk mencapai kekuasaan, perang adalah salah satu wadah utama yang mesti dilalui untuk menguasai politik. Dan mereka berusaha merebut kuasa kerana ingin berdakwah atas nama Allah.

Oleh kerana para Anbiyak tidak ramai yang mempunyai kuasa memerintah, maka cara diplomasi dengan dialog dan berbincang, adalah kaedah utama mereka gunakan. Namun dengan mempunyai kuasa politik, perkara dosa dan noda dapat dikawal dengan lebih berkesan dan meluas lagi. Buktinya Nabi Sulaiman, berjaya menguasai jin, manusia dan binatang. Kerajaan Balqis yang syirik itu juga berjaya diIslamkan. Rasulullah juga mempunyai kerajaan dan lihatlah bagaimana Islam berkembang bersama kekuatan organisasi yang patuh kepada Allah.

Itulah peri pentingnya kuasa politik berada di tangan yang betul. Pun begitu, Allah juga menyatakan kuasa itu diberikan kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Dia yang menjatuh dan menaikkan sesiapa yang Dia kehendaki. Oleh itu Namrud dan Firaun, dua manusia yang pernah mengaku sebagai tuhan juga diberikan Allah untuk mereka berkuasa. Tetapi politik mereka adalah politik dosa. 

Maknanya, dakwah adalah wajib dan tetap berjalan, sama ada dalam keadaan si pembawa risalah Allah ini ada kuasa politik sebagaimana Nabi Daud dan Sulaiman atau tiada kuasa seperti kisah Nabi Nuh dan kisah-kisah dalam surah Yaasin, Al-Kahfi dan al-Buruj yang tersohor itu.

Berbalik kita kepada pihak ketiga dalam berdakwah. Majoriti kita, tidak menyedari kewujudannya. Mereka ialah golongan yang memarahi atau menjadi penghalang pula kepada golongan yang baik, yang menegur perbuatan dosa kumpulan pendosa itu. 

Kata-kata seperti kenapa menyibuk hal orang? Biarlah dia lakukan apa yang dia suka, asal jangan ganggu kita. Alim sangatkah kita, tak pernah buat dosa? Kita bukan nak halang usaha nak kembangkan agama, tetapi kita tidak mahu ada pihak yang terganggu atau merasa terancam. Di masjid ini bukan tempat yang sesuai bagi kita membincangkan hal-hal itu dan ini. Dia itu mengaku saja baik, tapi buat jahat juga. Pastinya kita semua pernah mendengarnya.

Ironinya semenjak dahulu golongan ketiga ini adalah terdiri daripada golongan yang jahil, tiada ilmu, tetapi sedaya upaya menggunakan kuasa mereka untuk menghalang orang berdakwah mencegah kemungkaran. Dengan keupayaan memahami al-Quran dan Sunnah yang sangat terhad atau mungkin tiada kefahaman langsung. 

Mereka tidak dikenali sebagai golongan beragama. Tetapi mereka pula yang menentukan yang mana baik yang mana jahat, ulamak mana yang bagus, ulamak mana yang tidak bagus. Kadangkala, jika mereka mempunyai kuasa, mereka dibantu pula oleh golongan berilmu, tetapi berniat jahat.

Bacalah surah al-A’ raf, bagaimana kisah Bani Israel yang tinggal berhampiran laut pada akhirnya menjadi kera dan babi kerana melanggar perintah Allah. Kita akan dapati bahawa golongan ketiga inilah yang menyibuk menghalang orang beriman daripada memberi nasihat kepada pendosa itu. 

Kita, pada zaman ini, mengambil ibrah kisah Bani Israel itu, menjadi golongan yang mana? Golongan yang terang-terang menentang ajaran Allah? Atau golongan yang beriman, mempunyai ilmu yang benar lalu melarang perbuatan dosa? Atau kita menjadi batu penghalang kepada dakwah orang beriman terhadap pendosa dengan kejahilan atau kejahatan kita?

MOHD NASIR ABDULLAH
17 Mac 2023 – HARAKAHDAILY 17/3/2023

*Foto dari mahatera.blogspot

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -
- Advertisement -