Dua rentung selepas rempuh lori kontena di LPT1

- Advertisement -

KUANTAN: Dua rentung selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka terbakar setelah merempuh belakang lori kontena di Kilometer 108.7 Lebuhraya Pantai Timur Fasa Satu (LPT1) di Temerloh awal pagi tadi.

- Advertisement -

Ketua Polis Daerah Temerloh ACP Mohd Azhar Mohd Yusoff berkata pihaknya menerima maklumat pada 5.22 pagi, dan kedua-dua mangsa didakwa terperangkap selepas kenderaan itu tersangkut di belakang lori kontena terbabit.

“Kejadian dipercayai berlaku selepas kenderaan pacuan empat roda hilang kawalan lalu merempuh lori kontena. Pemandu lori kontena telah memberhentikan kenderaan di lorong kecemasan apabila menyedari kemalangan berlaku,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Mohd Azhar berkata tiada pengenalan diri ditemukan pada mangsa, namun pihaknya percaya kedua-dua mangsa ialah lelaki berusia 24 tahun berdasarkan keterangan awal daripada waris.

Mayat dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) di Temerloh dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

Mohd Azhar meminta orang ramai yang mempunyai maklumat untuk menghubungi talian 09-2716086 atau pengawai penyiasat trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh Insp Thuvanesvari, 018-9724346 bagi membantu siasatan. – BERNAMA

- Advertisement -