SMART SBB untuk tingkat produktiviti padi, beras negara

Che Alias Hamid
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) telah diperkenalkan oleh Kerajaan pada Februari 2021 bagi meningkatkan produktiviti pengeluaran padi dan beras negara.

- Advertisement -

Menurut Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) industri padi dan beras merupakan satu sektor agromakanan yang penting dalam mengeluarkan makanan ruji utama untuk rakyat Malaysia.

Walau bagaimanapun, ujarnya negara masih perlu mengimport hampir 30 peratus beras bagi menampung keperluan penduduk di negara ini saban tahun.

Menurutnya, berdasarkan kepada perkara tersebut, KPKM menyedari bahawa kebergantungan kepada beras import akan menjejaskan sekuriti bekalan makanan negara sekiranya terdapat gangguan bekalan daripada faktor-faktor luar kawalan seperti sekatan perdagangan luar, pandemik wabak penyakit dan sebagainya.

Justeru, ujarnya sekuriti makanan negara bagi beras perlu diperkukuhkan selaras dengan perancangan yang terkandung dalam dokumen dasar utama KPKM iaitu Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) dan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara (DSMN) 2021-2025.

Katanya, SMART SBB diperkenalkan dengan sasaran pelaksanaan program seluas 150,000 hektar kawasan bertanam dan purata pengeluaran hasil sebanyak 7.0 tan metrik per hektar, sekali gus membantu pencapaian sasaran kadar Tahap Sara Diri (SSL) beras negara masing-masing kepada 75 peratus menjelang tahun 2025 dan 80 peratus menjelang tahun 2030.

“Kementerian meyakini dengan pelaksanaan program ini pelbagai masalah atau isu utama di lapangan seperti pendapatan pengeluar padi yang rendah, kos pengeluaran yang tinggi, kekurangan mekanisasi dan automasi, persekitaran perniagaan yang tidak kondusif dan kerugian pascatuai akan dapat diatasi,” kata KPKM dalam jawapan bertulis kepada soalan Che Alias Hamid [PN-Kemaman] di Dewan Ralyat, hari ini.

Che Alias meminta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan status terkini inisiatif pelaksanaan SMART Sawah Berskala Besar (SBB) di seluruh negara yang dapat mengeluarkan golongan petani daripada menjadi miskin secara berterusan..

Sehingga kini, kata KPKM program SMART SBB telah dilaksanakan dengan kerjasama 27 buah Syarikat Peneraju yang terdiri daripada pelbagai Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), koperasi pesawah dan syarikat- syarikat swasta dengan keluasan lebih 11,000 hektar di seluruh negara melibatkan hampir 5,000 orang peserta program.

“Pelaksanaan program ini mendapat penyertaan yang memberangsangkan daripada pesawah.

“Pelaksanaan program ini adalah tanpa paksaan dan tiada sebarang pengambilan tanah terhadap pesawah yang menyertai program ini,” jelas KPKM lagi.

Katanya, keberkesanan pelaksanaan program ini terbukti melalui peningkatan hasil pendapatan sebagai contoh pelaksanaan SMART SBB di Kota Belud, Sabah yang telah mencatatkan peningkatan purata hasil padi sebanyak 60 peratus daripada 2.60 tan metrik kepada 4.15 tan metrik sehektar manakala di sesetengah kawasan pulangan bersih hasil tuaian sawah meningkat hampir 200 peratus daripada sekitar RM2,000 kepada RM6,000 semusim.

Peningkatan produktiviti dan pendapatan tersebut membuktikan bahawa pelaksanaan program SMART SBB telah dapat membantu meningkatkan taraf hidup pesawah. – HARAKAHDAILY 9/3/2023

- Advertisement -