Nasib kakitangan KBS kena perah dapat perhatian

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) perlu meneliti semula bilangan kakitangan, terutama di Pejabat Belia Sukan peringkat daerah dan negeri.

Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) berkata, mereka sering diminta bertugas sama ada di peringkat kerajaan Pusat mahu pun negeri, selain ketika bencana di negeri sendiri.

- Advertisement -

“Sebagaimana yang menteri sebut tadi bahawa kakitangan Pejabat Belia dan Sukan peringkat daerah sering kali diminta bertugas di program, sama ada di peringkat kerajaan Pusat atau negeri.

“Begitu juga ketika berlaku bencana dan proses vaksinasi, mereka juga yang bertugas sepenuh masa. Oleh itu, saya minta supaya jika dapat KBS tambah lagi bilangan kakitangan,” katanya.

Ahmad Fadhli membuat celahan semasa Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh membuat penggulungan Belanjawan 2023 kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.

Bagaimanapun, Hannah berkata, selain melihat keperluan untuk menambah bilangan pegawai, kementerian sedang meneliti semua program sedia ada.

“Semasa saya memegang jawatan ini, saya lihat ada program yang bertindih antara agensi. Sebab itu sekarang, kita sedang pastikan supaya tiada pembaziran bukan sahaja dari segi peruntukan dan perjawatan, tetapi tenaga dan masa pegawai kita,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/3/2023

- Advertisement -