Kemalangan maut: Tingkat ciri keselamatan jalan di Jerantut

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ciri keselamatan jalan-jalan di daerah Jerantut perlu ditingkatkan dengan segera.

- Advertisement -

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Jerantut, Ir Ts Khairil Nizam Khirudin meminta supaya Jalan Jerantut-Benta perlu disiapkan segera selari dengan syor beliau di Parlimen minggu lepas.

Beliau menyatakan demikian susulan menziarahi Jamaluddin Ahmad (foto atas) yang merupakan ayah kepada dua beradik yang maut selepas terbabit dalam kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan di kilometer 8 Jalan Jerantut-Benta dekat Kampung Lata Kasah.

“Kehilangan anak-anak tersayang secara mengejut amatlah perit.

“Saya amat terkesan dengan kejadian-kejadian kemalangan maut di sini,” ujarnya dalam hantaran di Facebook beliau, semalam.

Katanya, kejadian yang berlaku dalam keadaan hujan serta jalan basah tersebut telah menyebabkan seorang cucu Jamaluddin berusia empat tahun masih dirawat di hospital.

Namun, ujarnya ketenangan di raut ayah mereka menggambarkan kekuatan dalaman seorang hamba dalam menghadapi ujian yang amat hebat itu.

“Saya doakan keluarga ini terus kuat dan mangsa yang terselamat akan kembali ke pangkuan keluarga dalam masa terdekat. Mari kita sedekahkan Al-Fatihah buat arwah berdua,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan takziah kepada Jamaluddin atau lebih dikenali sebagai Abang Kassim.

“Memang benar pantang maut sebelum ajal dan kuasa Allah itu mengatasi segalanya tetapi kita sebagai manusia perlu berusaha memperbaiki keadaan.

“Insya-Allah saya akan bertemu Timbalan Menteri Kerja Raya di Parlimen secepat mungkin,” katanya yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat.

Menurutnya, jalan yang dilalui itu memang sering kali digunakan oleh kenderaan berat yang selalu dipandu dalam keadaan bahaya.

Khairil Nizam meninjau di kawasan kemalangan.

Katanya, selekoh di mana berlakunya kemalangan itu adalah jalan dua lorong dua hala dan garisan putih berkembar di tengah sebagai pembahagi jalan.

Sepatutnya, kata Khairil Nizam pemandu kenderaan berat lebih berhati-hati tambahan pula cuaca hujan. – HARAKAHDAILY 5/3/2023

- Advertisement -