Tiada ketetapan pusat tahfiz perlu ada modul TVET

Mohd Misbahul Munir Masduki
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pada masa ini, tiada sebarang ketetapan yang dibuat oleh kerajaan agar semua pusat-pusat tahfiz awam dan swasta yang berdaftar perlu mempunyai modul berkaitan TVET bagi tujuan laluan kerjaya.

- Advertisement -

Namun begitu, kata Kementerian Sumber Manusia (KSM) penerapan modul berkaitan TVET kepada para pelajar tahfiz dilihat sebagai satu tambah nilai yang amat signifikan dalam membantu lepasan tahfiz merencana dan meluaskan skop kerjaya mereka.

Bagi tujuan itu, katanya KSM melalui Majlis Pembangunan Kemahiran Kebangsaan (MPKK) telah menubuhkan Jawatankuasa Kerja Pembangunan Tahfiz-TVET yang berperanan membantu dan menasihati institusi tahfiz dalam memperkasakan kurikulum, bahan pengajaran dan pembelajaran, peningkatan kompetensi pegawai, dan aspek persijilan. Jawatankuasa ini akan mengenal pasti keperluan semasa program TVET di institusi tahfiz, melihat keperluan pembangunan program baru yang bersesuaian, serta mengenal pasti inisiatif yang dapat memperluaskan akses pelajar tahfiz bagi mengikuti program TVET.

Menruutnya, kementerian melalui Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) turut bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ke arah memartabat dan melahirkan golongan huffaz yang berkualiti dan berkemahiran tinggi.

“Usaha ini selaras dengan Dasar Pendirikan Tahfiz Negara (DPTN) iaitu membuka peluang yang luas kepada lepasan bidang tahfiz, penawaran kursus-kursus kemahiran kepada murid tahfiz dan meningkatkan kemahiran serta kebolehpasaran lepasan tahfiz,” ujarnya dalam jawapan bertulis kepada soalan Mohd Misbahul Munir Masduki [PN-Parit Buntar] di Dewan Rakyat, hari ini.

Mohd Misbahul meminta Menteri Sumber Manusia menyatakan adakah Kerajaan akan meneruskan usaha Kementerian terdahulu bagi menjadikan semua sekolah-sekolah tahfiz awam dan swasta yang berdaftar mempunyai modul Latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi tujuan laluan kerjaya kepada para pelajar.

Selain itu, ujar KSM bagi menggalakkan lagi penglibatan pelajar tahfiz dengan program TVET, kerjasama turut dijalinkan antara antara penyedia-penyedia TVET bersama pusat-pusat tahfiz dalam melatih dan melengkapkan para pelajar tahfiz dengan kemahiran-kemahiran yang bersesuaian.

“Kursus-kursus berbentuk jangka pendek banyak ditawarkan kepada pelajar-pelajar tahfiz ini sebagai pendedahan dan seterusnya membuka laluan kepada mereka untuk mendalami kemahiran yang diminati secara lebih berstruktur,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/3/2023

- Advertisement -