Rakan Muda Ramadan beri impak dalam kalangan belia

Siti Zailah Mohd Yusoff
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pelbagai program telah dilaksanakan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) termasuk program Rakan Muda Ramadan yang telah menjadi salah satu program ikonik kementerian.

- Advertisement -

Menurut KBS, pelaksanaan program itu telah memberi impak yang tersendiri di kalangan belia di negara ini.

“Program ini telah mendekatkan diri anak-anak muda beragama Islam dengan bertadarus Al-Quran selain dapat membentuk akhlak anak muda yang baik,” kata KBS dalam jawapan bertulis kepada soalan Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Siti Zailah meminta Menteri Belia Dan Sukan menyatakan adakah pihak Kementerian berhasrat untuk meneruskan program-program pembangunan kerohanian seperti Rakan Muda Ramadan dan Fit Masjid bagi memperkukuh jati diri anak muda khususnya orang Islam.

Menurut KBS lagi, ini dapat dilihat sewaktu negara menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun 2020, Program Rakan Muda Ramadan telah dilaksanakan secara atas talian dan melibatkan penyertaan seramai 456 orang belia dari seluruh negara dan meningkat kepada 1,408 orang pada tahun 2021.

Katanya, pada tahun 2022, program itu dilaksanakan secara fizikal dan telah disertai oleh 5,800 orang belia.

“Program ini akan diteruskan pada tahun ini di semua negeri dan dijangka akan disertai oleh seramai 6,000 orang belia.

“Program ini juga telah dapat mendekatkan diri anak-anak muda dengan membantu belia dalam pengajian Al-Quran,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 2/3/2023

- Advertisement -