Isu regulisasi PATI dapat perhatian

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Isu Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) membabitkan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) mendapat perhatian Zahari Kechik (PN-Jeli).

Beliau meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyatakan syarat dan proses untuk PATI menyertai program tersebut.

- Advertisement -

“Program ini adalah satu proses untuk meregulisasikan PATI dan ini sudah tentu ia mempunyai syarat-syarat dan prakelayakan yang ketat.

“Apakah syarat dan bagaimanakah proses serta mekanisme dalam memberi kelayakan untuk PATI menyertai program ini dan apakah program ini semata-mata untuk meregulisasikan atau atas sebab permintaan terhadap sektor pekerjaan di negara kita,” katanya.

Zahari berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengikut soalan asal, beliau meminta KDN menyatakan jumlah pecahan PATI yang dipilih untuk menyertai program demikian sehingga kini dan sektor yang terbabit.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Jeli berkata, hampir 200,000 PATI dan hampir 20,000 majikan mendaftarkan diri dalam Pelan Rekalibrasi PATI 2.0 di bawah program RTK selepas ia diumumkan pada 10 Januari lalu.

Sehingga 27 Februari lalu, katanya seramai 194,793 PATI berdaftar di bawah program RTK 2.0 membabitkan 17,053 majikan.

Beliau berkata, permohonan diterima melalui program itu membabitkan 55 peratus dari sektor pembinaan, perkhidmatan (28 peratus), perkilangan (enam peratus), pertanian (enam peratus) dan perladangan (lima peratus). – HARAKAHDAILY 2/3/2023

- Advertisement -