Isu filem Mentega Terbang: Kerajaan perlu tegas

Ahmad Yahya
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan madani disaran agar bersikap tegas secara lebih proaktif pada masa hadapan dalam menangani isu penerbitan filem yang mempunyai unsur pluralisme agama seperti produksi berjudul Mentega Terbang yang ‘terlepas’ disiarkan di media sosial sejak 19 Jan lalu.

Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato’ Ahmad Yahya berkata, tayangan filem sedemikian jelas boleh merosakkan akidah anak-anak muda dan masyarakat beragama Islam umumnya kerana tayangan filem itu memaparkan babak menyentuh sensitiviti agama dan menghina umat Islam di Malaysia. 

- Advertisement -

Mentega Terbang yang mula ditayangkan melalui platform penstriman berbayar Viu itu adalah hasil skrip yang ditulis secara bersama oleh Khairi Anwar, Arjun Thanaraju dan Ting Teng Hui; memaparkan plot berkisar tentang seorang remaja Muslim, Aishah yang tertarik kepada agama yang mempercayai kepada konsep kelahiran semula selepas kematian.

Antara kandungan kontroversi filem itu adalah babak yang menunjukkan bapa Aishah yang berfahaman liberal tidak menyekat anaknya itu daripada murtad selepas mengkaji pelbagai kitab agama lain dalam usahanya yang kononnya mencari jawapan kepada konsep kelahiran semula berkenaan.

Menurut Ahmad, sebelum ini masyarakat di Malaysia telah berhadapan dengan kontroversi filem Pulau yang turut memuatkan aksi-aksi pelakon-pelakon dalam filem tersebut dikatakan tidak mematuhi etika berpakaian yang sepatutnya. 

Sehubungan itu, katanya ketiadaan tindakan yang tegas daripada pihak berkuasa boleh memberikan implikasi yang lebih buruk kepada umat Islam di negara ini. 

“Oleh itu, sudah sampai masanya pihak kerajaan melaksanakan satu dasar yang jelas, komprehensif dan praktikal digubal bagi mengawasi penerbitan filem dalam negara agar setiap filem yang dipaparkan tidak mempunyai unsur-unsur negatif terhadap masyarakat terutama yang beragama Islam,” katanya kepada HarakahDaily.

Beliau menegaskan, sikap bertolak ansur yang tidak bertempat, lama-kelamaan boleh mendorong umat Islam di Malaysia turut terjerumus dalam perangkap normalisasi liberalisme agama yang dicetuskan oleh sekelompok golongan liberal di negara ini.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar dilaporkan berkata, hasil penelitian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang sebelum ini diarahkan meneliti filem itu mendapat terdapat pertentangan yang jelas dengan akidah dan cara kehidupan umat Islam di Malaysia yang beraliran Mazhab Syafie.

JAKIM menurut beliau turut diarah mengemukakan ulasan terperinci kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) agar tindakan boleh dikenakan.

“Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) juga diminta untuk memanggil pihak yang terbabit dalam isu penerbitan filem itu untuk pengurusan selanjutnya,” katanya.

Peruntukan undang-undang tegas

Dalam pada itu Ahmad yang mengulas lanjut berkata, garis panduan daripada JAKIM mahupun di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) sepatutnya dikuatkuasa dengan satu peruntukan undang-undang yang tegas supaya tidak ada lagi penerbit yang tidak bertanggungjawab menerbitkan filem-filem berunsurkan pluralisme agama. 

Ini berikutan, filem berdurasi satu jam 44 minit itu yang dipaparkan melalui wadah atas talian dan bukan pawagam atau televisyen itu dikatakan tidak tertakluk kepada Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPF).  

“Dasar penerbitan filem yang menyeluruh dilihat mampu untuk menangani filem-filem yang bertentangan dengan nilai agama, budaya, tatasusila masyarakat serta ketenteraman awam. 

“Sikap bertolak ansur yang tidak bertempat lama-kelamaan boleh mendorong umat Islam terjerumus dalam perangkap normalisasi liberalisme agama yang dicetuskan sekelompok golongan liberal di negara ini,” tegas beliau.

Justeru itu, beliau turut menegaskan bahawa tindakan yang tegas terhadap pihak penerbitan filem Mentega Terbang wajar diambil tindakan segera oleh kerajaan. 

“Tiada kompromi terhadap sebarang bentuk promosi pluralisme agama dalam negara ini,” katanya.  – HARAKAHDAILY 2/3/2023

- Advertisement -