12 premis kerajaan negeri Perak tiada FC

Azmi Osman
- Advertisement -

IPOH: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak mengenal pasti 12 daripada 20 premis kerajaan di negeri ini tidak mempunyai Sijil Perakuan Bomba (FC).

- Advertisement -

Pengarahnya Azmi Osman berkata daripada jumlah itu sebanyak tiga premis diambil tindakan ke mahkamah dan enam telah diberikan notis.

“Kami harap setiap ketua jabatan dapat memastikan premis dalam keadaan yang baik. Jika tidak memiliki FC, sudah pasti aset milik kerajaan akan menghadapi masalah sekali gus merugikan kerajaan seperti kehilangan fail sulit berkaitan pentadbiran kerajaan.

“Semua pemilik premis mahupun ketua jabatan perlu peka terhadap undang-undang sedia ada yang mewajibkan premis berkenaan memiliki FC mengikut Akta Perkhidmatan Bomba (Akta 341) selain cakna terhadap masalah dan kekangan dengan memberi perhatian yang serius,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan dan Majlis Serah Terima Tugas Pengurusan Tertinggi JBPM negeri di Ibu Pejabat JBPM di sini hari ini.

Azmi berkata antara masalah dihadapi pemilik premis yang tidak mempunyai FC adalah kegagalan mengemukakan pelan asal bangunan.

Menurutnya, sebanyak 210 daripada 317 premis swasta dan kerajaan di negeri ini mempunyai FC manakala bakinya berkemungkinan sudah tamat tempoh serta tidak diperbaharui.

“Berdasarkan statistik, lebih kurang 15 premis bangunan daripada jumlah tersebut adalah dalam pemerhatian untuk disiapkan kertas untuk dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk tindakan selanjutnya,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -