Ditakuti semasa hayat, diharapkan setelah tiada

- Advertisement -

DI IRAQ, ketika era kekuasaan Saddam Hussein, tak ramai yang berani bercakap mengenai lelaki bermisai lebat yang paling berkuasa di Iraq pada zamannya itu. 

Kalau kita tanya pun, kawan-kawan Iraq lebih mengambil sikap berdiam diri atau menunjukkan isyarat tangan di leher. Saya faham, maknanya baik diam atau…

Suatu hari soalan yang sama saya ajukan kepada guru kami yang mulia, Almarhum Syeikh Abdul Karim Mudarris, apa pandangan Tuan Syeikh tentang Saddam? Kata Syeikh, “Wahai anakku, adanya Saddam bala bagi Iraq, tapi kalau Saddam tiada, bala akan jadi lebih besar.”

Saya pulang dari perantauan di Iraq pada tahun 1999 tanpa saya memahami apa yang dimaksudkan dengan ungkapan kata-kata guru kami tersebut. 

Tahun 2003, selepas kejatuhan Saddam, Iraq dihancur leburkan oleh Amerika Syarikat (US). Kerajaan boneka US pimpinan Syiah mengambil alih kuasa. 

Di sebalik hasil minyak yang melimpah ruah, Iraq menjadi antara negara termiskin dan paling tak selamat di dunia, pembunuhan, letupan bom dan kematian berlaku hampir setiap hari.

Rakyat Iraq berkelana ke serata dunia termasuklah ke Malaysia bagi mencari kehidupan dan paling tragis negara Iraq kehilangan kedaulatan. Maka barulah saya faham dan mengerti akan apa yang dimaksudkan oleh Tuan Syeikh dan ianya telah nyata berlaku.  

Ramai kawan-kawan Iraq yang berhijrah ke Malaysia mengeluh dengan nada penyesalan, kata mereka, ‘Kalaulah Saddam masih ada.’

Malah bekas Penganalisis CIA, John Nixon, individu pertama yang menyoal siasat Saddam selepas ditahan oleh US pada 2003 mengakui bahawa rantau Timur Tengah akan lebih aman sekiranya Saddam tak digulingkan. 

Beliau mengakui bahawa sebenarnya Iraq tak pernah membangunkan senjata pemusnah besar-besaran sebagaimana dakwaan US dan dengan dakwaan inilah mereka menyerang Iraq. 

Kita akui Saddam bukan Islamik. Parti Baath pimpinannya ialah sebuah parti sosialis. Tapi beliau antara yang boleh dibilang jari dari kalangan pemimpin Arab yang berani mengangkat muka di hadapan kuasa hegemoni Barat.

US sebenarnya telah menjajah Iraq sejak 1991 lagi. Bila Iraq dikenakan sekatan ekonomi, US telah mengepung Iraq dari segenap penjuru. 

Minyak Iraq boleh dijual, tapi di bawah kawalan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) atau US. Hasil jualan minyak dibahagi tiga. Satu bahagian untuk memulihkan kerosakan perang di Kuwait. 

Yang buat kerja-kerja pemulihan ialah kontraktor US. Satu bahagian lagi untuk program bekalan makanan dan ubatan. Yang dapat kontrak membekalkan makanan dan ubat-ubatan dan dibayar dari hasil minyak Iraq ialah negara-negara yang bersama US dalam Perang Teluk 1991.

Satu bahagian lagi untuk kawasan autonomi Kurdish di Utara Iraq. Minyak dijual, tapi Iraq tak dapat duit.

YB DR AZMAN IBRAHIM
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
Exco Kerajaan Negeri Terengganu – HARAKAHDAILY 27/2/2023

- Advertisement -
- Advertisement -