Peruntukan besar Belanjawan 2023 tingkat risiko

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2023 merupakan peruntukan kewangan terbesar yang terpaksa ditanggung kerajaan dan berisiko terhadap keupayaan fiskal negara.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman, berpandangan sejumlah RM388.1 bilion diperuntukkan tahun ini berbanding peruntukan asal RM372.3 bilion yang dibentangkan sebelum pembubaran Parlimen.

Katanya, ia membabitkan perbelanjaan operasi berjumlah RM289.1 bilion dan perbelanjaan pembangunan berjumlah RM99 bilion, dengan anggaran pertumbuhan KDNK 4.5 peratus bagi tahun 2023.

“Jangkaan pendapatan lebih rendah iaitu RM291.5 billion berbanding anggaran 2022 iaitu 292.7 bilion.

“Defisit fiskal diunjurkan pada 5.0 peratus berbanding KDNK, lebih rendah daripada anggaran 2022 iaitu 5.6 peratus,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Jelas beliau, jumlah perbelanjaan mengurus sudah menghampiri jumlah hasil kerajaan pada paras 99 peratus.

“Ini bermakna, setiap hasil yang dipungut kerajaan hanya cukup untuk menampung kos pengurusan kerajaan, dan situasi ini adalah berisiko terhadap keupayaan fiskal sekiranya terdapat kenaikan kos di luar jangkaan atau kutipan hasil jauh lebih rendah daripada yang dianggarkan,” katanya.

Tambah beliau, sebahagian besar Belanjawan 2023 merupakan penerusan atau peluasan program sedia ada.

Antaranya, komitmen untuk mengawal paras hutang, ketelusan dalam perolehan kerajaan, pengenalan cukai barangan mewah dan subsidi bersasar.

Selain itu, peranan wakaf dalam pembangunan negara, pewujudan akta perlindungan pemberi maklumat, tanggungjawab fiskal.

Seterusnya, inisiatif pendapatan rakyat dan pengupayaan golongan miskin dan bantuan kepada B40 dan M40.

Namun katanya, ketegasan kerajaan dalam menghapuskan rasuah dan penyelewengan akan disambut baik oleh semua Ahli Parlimen pembangkang. – HARAKAHDAILY 24/2/23

- Advertisement -