Ini Belanjawan Pilihan Raya Negeri

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2023 kelihatan seperti Belanjawan ke arah persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung pertengahan tahun ini.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff, berkata ini berikutan banyak negeri yang menjadi sasaran Pakatan Harapan (PH) seperti Pulau Pinang diberi peruntukan yang agak lumayan.

“Kita nampak banyak keutamaan diberi kepada Pulau Pinang dan banyak kepada anak-anak muda dan juga untuk golongan di kawasan pedalaman dan orang-orang kampung miskin. Kita ucap tahniah di atas usaha baik.

“Cuma apa yang kita harapkan ialah supaya betul-betul sampai kepada sasaran dan tidak diambil kesempatan oleh pihak tertentu dalam proses pengagihan Belanjawan untuk kepentingan mana-mana pihak,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Namun, Siti Zailah melahirkan perasaan sedih apabila peruntukan untuk Kelantan, terutama royalti petroleum yang menjadi hak negeri itu seolah-olah tidak dipandang oleh kerajaan.

Selain itu, katanya keperluan peruntukan untuk Ahli Parlimen masih tidak mendapat perhatian sedangkan semua pihak tahu bahawa mereka memikul tanggungjawab berat di kawasan masing-masing

“Apatah lagi Ahli Parlimen di Sabah dan Sarawak, terutama di kawasan pedalaman yang berdepan risiko bencana seperti banjir. Tanpa peruntukan, sudah tentu menjadi beban yang berat untuk mengurus pejabat, perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap isu peruntukan Ahli Parlimen dipertimbangkan kerana perkara itu adalah hak rakyat di negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen. – HARAKAHDAILY 24/2/23

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!