Sg Petani-Ulu Muda dibangun rangsang ekonomi setempat

Ahmad Tarmizi Sulaiman
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menerusi Pelan Ekopelancongan Kebangsaan 2.0. telah mengenal pasti kluster ekopelancongan Sungai Petani-Ulu Muda sebagai salah satu daripada 60 kluster ekopelancongan di Malaysia yang berpotensi dibangunkan bagi merangsang ekonomi setempat.

- Advertisement -

Menurut MOTAC, tarikan utama kawasan itu khususnya Hutan Simpan Ulu Muda yang menjadi rumah kepada Tasik Beris dan beberapa buah empangan lain adalah kaya dengan kepelbagaian biologi.

“Pelbagai aktiviti ekopelancongan boleh dipromosikan seperti memancing, kembara hutan (hiking), rakit redah jeram (water rafting), mencerap hidupan liar (wildlife watching) dan sebagainya,” kata MOTAC dalam jawapan bertulis kepada soalan Ahmad Tarmizi Sulaiman [PN-Sik] di Dewan Rakyat, semalam.

Ahmad Tarmizi meminta Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya menyatakan perancangan pembangunan pelancongan ecotourism dan agrotourism di daerah Sik yang sangat berpotensi untuk dimajukan bagi kehadiran pelancong tempatan dan antarabangsa.

Jelas MOTAC lagi, di daerah Sik juga terdapat tiga buah pusat agropelancongan swasta yang berdaftar dengan jabatan/agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) iaitu Koperasi Agro Belantik Sik Berhad (Padi Organik), Agropelancongan Kampung Landai Gulau dan Muda Resort.

Katanya, sebagai contohnya, Muda Resort bukan sahaja menawarkan penginapan chalet dan kemudahan dewan mesyuarat yang selesa kepada pelancong-pelancong tetapi aktiviti-aktiviti rekreasi seperti berjogging, kayak, berkhemah dan sebagainya.

Di samping itu, ujarnya Homestay Kampung Jeruju dan Homestay MADA Pulau Pisang di kawasan berdekatan turut menawarkan pengalaman percutian agropelancongan melalui “farm-stay”.

MOTAC menerusi Tourism Malaysia akan terus bekerjasama dengan MAFS dalam mempromosi agropelancongan sebagai produk pelancongan negara seperti penglibatan dalam Pameran Ekspo Pertanian, Hortikultur Dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022 pada 4 hingga 14 Ogos 2022 di MAEPS, Serdang, yang berpotensi besar meningkatkan promosi Ulu Muda sebagai destinasi agropelancongan negara.

Selain itu, katanya Tourism Malaysia juga telah menyampaikan taklimat berkaitan pembangunan pakej semasa Kursus Pengendalian Pakej Agro Pelancongan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Tahun 2022 di Sungai Petani, Kedah pada 8 sehingga 10 November 2022 yang dihadiri oleh seramai 25 pengusaha produk di bawah MADA.

Tambahnya, para peserta turut diberikan maklumat berkaitan platform promosi produk dan pakej pelancongan yang disediakan oleh Tourism Malaysia antaranya melalui menu Deals & Packages pada laman sesawang www.malaysia.travel.

“Kesinambungan dari sesi ini, satu program pembangunan pakej sedang dirancang untuk mempromosikan tarikan pelancongan Tasik Pedu dan penginapan di sekitar Sik termasuk Muda Resort.

“Agensi pelancongan dan media terpilih dari beberapa negeri akan dijemput untuk membangunkan pakej dan meluaskan liputan dalam usaha mempromosikan tarikan pelancongan secara berterusan,” ujar MOTAC lagi. – HARAKAHDAILY 23/2/2023

- Advertisement -