Pembinaan projek ECRL capai kemajuan 40 peratus

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerja-kerja pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sehingga sekarang sudah mencapai kemajuan sebanyak 40 peratus.

- Advertisement -

Menteri di Kedutaan China, Tang Rui berkata, pencapaian perkembangan projek itu amat membanggakan dan menggembirakan kerana ia akan memberi manfaat khususnya kepada penduduk tempatan.

Berdasarkan perkembangan itu, kata beliau, pihaknya yakin projek berkenaan dapat disiapkan pada masa ditetapkan iaitu pada tahun 2026.

“Bagi pembinaan jajaran di Seksyen A dari Kota Bharu ke Dungun dan B (Dungun ke Mentakab) ia dijangka siap pada 2026, manakala Seksyen C (Mentakab ke Pelabuhan Klang) pada 2027.

“Saya amat gembira melihat kemajuan yang dicapai dan kami akan terus kekal komited untuk meluaskan kerjasama antara China dan Malaysia,” katanya pada sidang media sempena Sambutan Ulangtahun ke-10 Inisiatif Jalur dan Laluan (Belt and Road Initiative) di Peringat hari ini.

Hadir sama Timbalan Exco Pentadbiran Awam, Pembangunan Wilayah, Kesejahteraan Masyarakat dan Integriti negeri, Mohd Huzaimy Che Husin dan Timbalan Pengarah Projek ECRL Sdn Bhd, Ye Xiao Lee.

Mengulas lanjut, Rui berkata, kerjasama antara Malaysia dan China tahun lalu menghasilkan pelaburan bernilai USD200 bilion.

“Dengan kerjasama sebegini banyak perkembangan baharu dapat dicapai termasuk menyumbang kepada ekonomi digital dan sebagainya.

“Kami akan terus komitmen terhadap tanggungjawab ini dan akan terus menyumbangkan usaha bagi mewujudkan kerjasama dan keharmonian sosial yang sejahtera di Malaysia,” katanya.

Beliau turut berharap kedua-dua negara terus bekerjasama bagi menjalankan projek-projek projek besar atau kecil pada masa akan datang. – HARAKAHDAILY 22/2/2023

- Advertisement -