Keadilan Islam dalam lipatan sejarah (Siri 66)
ABU Ubaid mengeluarkan dalam kitab Al-Amwal, daripada Al-Asbagh bin Nabatah, katanya:
Aku keluar bersama Ali bin Abi Talib ra ke pasar. Beliau melihat peniaga-peniaga di pasar melampaui tempat-tempat mereka.
Ali bertanya: ‘Apa ini?’ Mereka berkata: ‘Peniaga di pasar telah melampaui tempat-tempat mereka.’
Ali berkata:
أليس ذلك إليهم. سوق المسلمين كمصلى المصلين؟ من سبق إلى شيء فهو له يومه حتى يدعه
‘Tidakkah urusan itu diserahkan kepada mereka? Pasar orang Islam sama seperti tempat solat orang Islam? Sesiapa yang mendapat tempat terlebih dahulu di sesuatu tempat, dialah yang mendapatnya pada hari itu sehingga dia meninggalkannya.’
(HayatusSahabah, Al-Kandahlawi 21/108)
Kisah di atas dipetik daripada kitab HayatusSahabah.
Dalam riwayat Abu Daud, AtTabrani, Al-Baihaqi dan lain-lain bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ سبق إلى ما لم يَسْبقْه إليه مسلمٌ، فهو له.
Maksudnya: ‘Sesiapa yang mendahului kepada perkara/tempat yang tidak didahului oleh seorang Muslim yang lain, maka perkara/tempat itu untuknya.’
Al-Baihaqi berkata: Maksudnya ialah menghidupkan bumi.
Dalam satu hadis yang lain, Nabi SAW bersabda:
مَنْ أَعْمَرَ أَرْضًا لَيْسَتْ لِأَحَدٍ، فَهُوَ أَحَقُّ.
Maksudnya: ‘Sesiapa yang memakmurkan sebidang tanah yang tidak dipunyai oleh sesiapa, maka dialah yang berhak.’ riwayat Bukhari.
Urwah berkata: Umar telah berhukum dengannya ketika di dalam pemerintahannya.
Ibn Qudamah al-Maqdisi di dalam kitabnya Al-Mughni (5/426) telah menaskan bahawa harus mengambil tempat duduk di pasar untuk berjual beli dalam bentuk yang tidak menyusahkan orang lain dan tidak memudaratkan kepada orang yang lalu-lalang. Ini dipersetujui oleh masyarakat termasuk alim ulama semenjak lama di banyak tempat.
Apa yang dibuat oleh Saidina Umar benar. Apa yang dilakukan oleh Saidina Ali juga betul.
Dalam konteks pentadbiran dan pengurusan pihak berkuasa tempatan, PBT kini, kaedah yang digunakan ialah penempatan khusus dan tetap bagi peniaga. Ia menyenangkan semua pihak, samada pihak pengurusan dan pihak peniaga dan pembeli. Ia juga berdasarkan kaedah:
العادة محكمة
‘Adat kebiasaan menjadi hukum’
dan kaedah:
تغير الأحكام بتغير الزمان
‘Hukum berubah dengan sebab berubahnya masa.’
serta pendapat-pendapat ulama yang banyak mengenai perkara di atas.
Yang penting ialah menegakkan keadilan untuk kebaikan peniaga dan pembeli di pasar, kawasan perniagaan dan lain-lain, dan menghindari dari perbalahan dan kezaliman dalam pengurusan pasar dan kawasan perniagaan tadi.
NIK MUHAMMAD NASRI NIK MALEK, Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu. – HARAKAHDAILY 22/2/2023