Khitan wanita dari perspektif usul fiqh

- Advertisement -

PEMBENTANGAN oleh Dr Suhazeli Abdullah sekitar isu khitan wanita di Persidangan Meja Bulat: Khitan Wanita Daripada Perspektif Usul Fiqh.  Anjuran: Persatuan Ulamak Malaysia dan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

1. Ulamak empat mazhab sepakat tidak ada yang mengharamkan khitan wanita. Itu jelas walaupun hadis yang disebut itu dipertikaikan sanadnya, tetapi jalur rawi Hadis daripada Hadis-hadis lain disahihkan oleh para Muhaddisin atau setidaknya Hadis Hasan Lighairih. Kita semua pun bersetuju bahawa Hadis tersebut wujud dan dijadikan dalil oleh alim ulamak untuk mengharuskan khitan wanita ataupun mewajibkannya. Tidak ada pun mazhab yang mengharamkan. Tiada ulamak menyebutkan Hadis-hadis yang melibatkan khitan wanita itu palsu.

2. Ulamak kontemporari bekas Syeikhul Azhar, Mohamed Sayyid Tantawi pernah mengeluarkan fatwa haram khitan bagi wanita. Ianya merujuk kepada FGM dan melihat kepada waqi pada masa tersebut di mana khitan wanita dilakukan ke atas kanak-kanak remaja. Sudah pasti perbuatan berkenaan mempunyai penentangan dari pihak gadis remaja itu sendiri. Mereka akan trauma apabila melakukan kaedah khitan yang sedemikian itu. Alasan yang sama dikeluarkan oleh Darul Ifta Mesir, iaitu khitan wanita boleh menyebabkan kemudaratan ke atas fizikal wanita, tambahan pula ianya adalah adat orang Afrika dan adat zaman Firaun. 

3. Persatuan Azhar telah menyanggah pendapat tersebut melalui beberapa tulisan antaranya tulisan Syeikh Ali Jad al Haq. Syeikh Ali Jad al Haq menyatakan khitan adalah dibenarkan oleh Islam tanpa sebarang keraguan kerana Hadis yang berkaitan khitan adalah yang kuat dan jelas. Dalam masa yang sama Nabi S.A.W memperakui khitan wanita. Khitan wanita dikenali sebagai khifadh (خفاض), bukannya seperti definisi FGM dari WHO.

4. Tidak dinafikan bahawa apa saja amalan dalam agama ini, berlakunya penyelewengan dan ekstremis dalam membuat sesuatu suruhan agama. Sehinggakan kita boleh lihat berlakunya seperti kaedah Female Genital Mutilation (FGM) yang berlaku di beberapa buah negara Afrika. Kaedah seperti itu perlu ditegah dan tugasan kita memperbetulkan kembali perbuatan sedemikian.

5. Sepanjang sejarah hasil daripada perbahasan para alim ulamak sejak daripada zaman Nabi S.A.W sehingga sekarang adakah alim ulamak tidak menemui isu perlakuan melampau-lampau dalam khitan wanita ini? Mungkin ada dan ianya adalah kes-kes yang terpencil sehinggalah di akhir-akhir abad mellinium ini baru timbul  penyimpangan dari sudut kaedah dalam khitan wanita. Kaedah melampau seperti itu (FGM) perlu disekat dengan segera dan diperbetulkan oleh para alim ulamak supaya tidak semakin parah. Oleh itu kita lihat kebanyakan dari kenyataan fatwa akan menegur kesalahan dalam perbuatan melampau-lampau itu.

6. Ini menunjukkan bahawa hebatnya Hadis Nabi S.A.W, yang mana Baginda Nabi sudah melihat ke hadapan apa yang akan berlaku di akhir zaman. Terdapatnya manusia yang melampau dalam beramal syariat Islam. Oleh itu kita lihat Hadis yang diceritakan oleh Ummu Atiyah bahawa Nabi S.A.W tidak melarang khitan wanita dan membuat teguran jangan memotong berlebihan. Inilah teknik asas yang dipandu oleh Nabi. Siapa yang perlu lakukannya? Mestilah orang yang ahli dalam bab itu perlu melakukannya.

7. Jika kita lihat kepada beberapa huraian perbahasan ulamak yang terdahulu dan ulamak kontemporari, memang dinyatakan di hujung ulasan mereka bahawa melakukan khitan ke atas wanita tersebut sama ada wajib ataupun sunat, tetapi jika ianya dilakukan secara berlebihan, adalah haram di sisi agama kita. Berlebihan itulah yang disebut sebagai FGM.

8. Sains itu adalah selari dengan Islam. Apa sahaja dapatan yang ditemui oleh sains, sebenarnya telah pun dinyatakan di dalam Islam. Tetapi perlu diingat bahawa sains itu bukannya sesuatu yang muktamad (absolute). Selagi mana tidak ditemui melalui sains, tidak bermakna bahawa Islam itu tidak benar. Seberapa banyak al-Quran dan Hadis menyentuh berkaitan dengan sains, kita hanya menemui akhir-akhir ini di atas kecanggihan teknologi yang ada. Sebenarnya Islam menjangkaui zaman. Kemungkinan sesuatu itu belum lagi ditemui oleh sains dan kita tidak boleh menolak sebegitu sahaja dan terus mengatakan bahawa Islam tidak betul atau tidak benar. Dek kerana kita belum menemui lagi di zaman kita. Mungkin anak cucu kita nanti lagi canggih kaedah pembuktiannya, akan menemui hikmah sesuatu syariat itu. Oleh yang demikian Islam amat menggalakkan kita mengkaji dan terus mengkaji untuk mendapatkan hikmah di sebalik apa yang disebut oleh Hadis Nabi S.A.W.

9. Sejujurnya apa sahaja syariat yang disebut melalui Hadis Nabi tersebut walaupun ianya belum dirungkai sepenuhnya dan belum kita temui secara perubatan, kita tidak boleh menolak sewenang-wenangnya sebab ianya adalah Hadis Nabi S.A.W. Walau apa darjat Hadis sekalipun sama ada dhaif atau sahih, sudah pasti mempunyai hikmah tersendiri. 

10. Atas keyakinan mempunyai hikmah yang besar dalam syariat inilah kita sebagai seorang Muslim dan juga doktor mesti memegang bahawa sains itu adalah bukan muktamad atau mutlak (absolute). Mungkin akan ada lagi pertemuan ataupun dapatan kajian yang belum lagi ditemui buat masa ini. Pegangan yang sebaiknya kita tidak menolak dengan mudah apa yang disebut oleh Hadis Nabi S.A.W tersebut. Bahkan Hadis itu bukan Hadis palsu pun, tidak wajib ditolak mentah-mentah.

11. Sebagai contohnya perumpamaan syari’at untuk khatan lelaki, adalah diwajibkan. Adakah ianya telah ditemui manfaat perubatan sebelum daripada ini? Sedangkan syari’at mewajibkan khatan lelaki telah pun wujud sejak daripada 1,400 tahun yang lalu? Kajian sains yang membuktikan bahawa khatan lelaki itu mempunyai manfaat perubatan baru sahaja ditemui. Lihat kajian yang telah dilakukan Aaron A. R. Tobian (2010) yang lalu yang membuktikan bahawa khatan lelaki itu mempunyai manfaat untuk mengurangkan jangkitan HIV (51 peratus – 60 peratus), dan mencegah jangkitan kelamin. Sedangkan sebelum ini walaupun tanpa ditemui manfaat perubatan itu seluruh Muslim lelaki dikhatankan sama ada dikhatankan oleh ahli perubatan ataupun sebaliknya. Adakah kita ingin menunggu manfaat perubatan dahulu sebelum kita wajibkan sesuatu atau mengharamkan sesuatu? Sudah tentu tidak, sebab inilah syari’at yang ditunjukkan oleh Nabi dan para Sahabat walaupun ianya mungkin tidak kelihatan bukti sains lagi buat masa itu. Manfaat perubatan itu sudah pasti akan wujud di hujung sana dan ianya mempunyai hikmah yang besar yang belum diketahui oleh otak kita.

12. Ada pihak yang hanya mengambil alasan berlakunya komplikasi yang serius sepertimana yang berlaku di Afrika sana, terus kita ingin menuduh dan membawa persepsi buruk bahawa khitan yang dianjurkan oleh syariat itu adalah zalim dan haram. Sedangkan kita pun ketahui bersama bahawa perbuatan seperti itu melampaui batas. Tetapi adakah teknik yang dilakukan itu bertepatan dengan konteks negara kita? Atau apakah yang dilakukan itu bertepatan dengan apa yang disuruh oleh Nabi S.A.W? 

13. Jika hanya kita mengatakan bahawa manfaat untuk menjaga kebersihan semata-mata, bukan menjadi alasan yang ampuh. Ini kerana ramai lelaki di luar sana yang bukan Islam yang tidak berkhatan, biasa saja mereka hidup mereka, bahkan lebih maju. Kebersihan di sini tidak menjadi satu desakan besar pun kerana mereka juga boleh menjaga kebersihan sekadar  kefahaman dan amalan mereka. Ya, tidak dinafikan jika melakukan khatan untuk lelaki memang akan lebih bersih dan suci untuk melangsungkan ibadah serta menghindarkan diri kita daripada dijangkiti oleh penyakit-penyakit berjangkit yang disebabkan oleh kekotoran. Tetapi bukan suatu isu besar bagi sebahagian manusia. 

14. Pun begitu terdapat beberapa kajian berskala kecil yang menyatakan manfaat khitan wanita ini seperti secara tidak langsung mengurangkan HIV dan khitan tidak pun mendatangkan mudarat besar kepada wanita.

15. FGM sebenarnya tidak sama dengan khitan dalam konteks negara kita dan Nusantara. Satu kajian telah dilakukan oleh prof Rashid yang telah diterbitkan dalam BMJ (2019) telah mengulas panjang berkaitan dengan isu tersebut di mana konteks dalam negara kita disebut sebagai Female Genital Cutting (FGC). Mungkin ianya tidak menepati maksud khitan yang sebenar, tetapi kajian tersebut mengesahkan khitan di Malaysia berbeza istilahnya dengan FGM. Kajian itu juga menyatakan bahawa tidak ada pun komplikasi serius berlaku kepada anak-anak yang telah pun dikhitankan melalui kaedah FGC. 

16. Malah kajian tersebut juga mengurai dari sudut dapatan mereka daripada kajian-kajian telah dilakukan oleh beberapa pengkaji sebelum daripada ini mendapati bahawa tidak ada pun komplikasi mental, fizikal dan seksual yang berlaku ke atas kanak-kanak wanita yang telah dikhitankan. Dapatan tersebut mencakupi Malaysia dan juga Nusantara. Penggunaan istilah FGC adalah lebih ringan kerana kaedah yang digunakan pun tidak menggerunkan.

17. Apabila definisi dan istilah ini diubah-ubah oleh pihak-pihak tertentu menyebabkan kita akan berada dalam dilema dengan tekanan yang cuba menidakkan syariat Islam. Klasifikasi FGM diubah beberapa kali oleh WHO. Sebelum tahun 2007, kaedah khitan yang dijalankan dalam negara kita serta Nusantara ini tidak pun dimasukkan (Klasifikasi awal 1995). Tetapi Klasifikasi dan definisi FGM telah diubah tahun 2007 atas kelantangan perjuangan liberalisasi. Syariat Islam terus dihimpit oleh definisi yang dibuat oleh pihak-pihak tertentu itu. Pengamal syariat akan terus tersepit. Tidak mustahil selepas ini tudung pun akan diharamkan kerana tiada asas sains dalam menutup aurat.

18. Sehingga kini tidak ada lagi kajian Klinikal definitif dalam negara kita yang menunjukkan bahawa kaedah FGM digunapakai sehingga berlakunya kesan serius seperti yang berlaku di negara-negara Afrika. Saya merujuk kepada kajian KAP yang telah dijalankan oleh Prof. Dayang dan penyelidik UKM (2020) mengenai pengetahuan, sikap dan amalan masyarakat terhadap khitan wanita. Survey melalui borang maya tersebut adalah terlalu subjektif dan terdapat bias tertentu dalam meletakkan interpretasi kajian. 

19. Cuma penemuan kajian itu amat menarik. Berikut pengamatan yang saya dapat.

a. Tiada pun pengakuan dari penjaga mahupun pengkhitan bahawa mereka melakukan FGM Klasifikasi 2 dan 3 (antara punca penyebab boleh berlakunya kesan serius seperti di negara-negara Afrika).

b. Majoriti kanak-kanak dikhitankan itu adalah berumur kurang dari 12 bulan. Dalam erti kata lain trauma semasa menjalankan khitan itu tidak dapat dibuktikan jika dibandingkan dengan trauma bagi khatan kanak-kanak lelaki dalam negara kita. Insiden mendapati kanak-kanak lelaki dikhatankan antara 6 hingga 15 tahun. Ketika ini kanak-kanak sudah mula mempunyai pemikiran, perasaan dan mengingati peristiwa khatan itu. 

c. Pengakuan yang dibuat oleh ibu bapa adalah tidak boleh mewakili anak-anak sebagaimana yang dinyatakan dalam kajian. Bagaimana mungkin ibu boleh mewakili perasaan anak-anak kecil mereka yang masih belum bercakap (< 12 bulan) ataupun ianya adalah anggapan daripada ibu bapa yang melihat anak mereka takut dan menangis? Kelihatan takut cemas dan menangis adalah lumrah peribadi kanak-kanak. Itu adalah reaksi psikologi bagi anak-anak (fear strangers). Bukan pun takut dan trauma dengan prosedur yang dilakukan ke atas mereka. Kanak-kanak ni tangan doktor sejuk pun boleh menangis.

d. Dapatan mendapati kebanyakan daripada komplikasi segera semasa melakukan khitan ke atas bayi tersebut adalah perdarahan sedikit, sakit dan sebagainya ini juga adalah sesuatu yang biasa sebab ia melukakan sedikit tempat yang ingin dikhitankan. Kalaulah ini dikatakan suatu komplikasi yang serius, adalah tidak adil kerana kalau dibandingkan dengan khatan lelaki komplikasi perdarahan, bengkak, merah, bernanah dan sebagainya lagi tinggi berbanding dengan apa yang dibuat ke atas khitan wanita. Adakah sanggup kita ingin mengharamkan khatan lelaki kerana komplikasi yang lebih teruk berbanding dengan khitan wanita yang dilakukan dalam negara kita? Apa pula dengan kaedah bertindik telinga, yang juga akan berlaku perdarahan sedikit, sakit, luka, jangkitan kuman, bengkak merah ruam dan sebagainya?

e. Jika kajian ini dilakukan ke atas ibu bapa yang memberikan vaksin kepada anak-anak mereka,  hasil yang sama juga akan diperolehi. Ya benar  vaksin itu mempunyai manfaat perubatan, tetapi saya merujuk kepada kesan sampingan akibat vaksin. Kesan adverse atau sampingan (AEFI) wujud, tetapi itu adalah minima dan ianya akan baik dalam tempoh yang segera. Tidak dinafikan juga ada kes yang terlalu minima mempunyai komplikasi yang sehingga dimasukkan ke wad. Kesan minima seperti sakit tempat cucuk, bengkak tempat cucuk, demam sedikit dan sebagainya adalah boleh dikatakan ia adalah boleh diatasi. Dengan jumlah kecil insiden tersebut tidak boleh kita memberhentikan keseluruhan program vaksinasi. Ironinya hendak mengharamkan terus!

f. Kajian juga mendapati majoriti pengkhitan adalah di kalangan ustazah dan juga doktor yang menggunakan kaedah yang minima bukannya sama seperti yang digunakan di Afrika. Maknanya mereka lebih faham batasan bagaimana untuk melakukan khitan ke atas bayi wanita. Prof Rashid seperti mana rujukan yang saya sebutkan sebelum ini juga menyatakan bahawa trend akhir-akhir ini khitan wanita itu dilakukan oleh doktor yang fasih di dalam anatomi manusia dan juga mengetahui bagaimana untuk mengendalikan kes-kes jika berlaku komplikasi. 

g. Keputusan kajian dari prof Dayang itu juga mendapati bahawa semua pengendali ataupun pengkhitan tidak bersetuju dengan FGM yang dilakukan di Afrika. Mereka mengakui bahawa khitan yang dilakukan oleh mereka adalah tidak sama dengan FGM. 

20. Saya membaca kajian yang telah dilakukan oleh Dr Maznah Dahlui (2012) dan Dr Khatijah (2015) yang seperti yang saya tunjukkan di dalam slide pembentangan. Dapatan dari kajian itu menunjukkan bahawa kaedah khitan wanita yang dilakukan adalah minima, tidak mencederakan anggota  dan dilakukan kebanyakannya oleh ahli yang arif melakukan khitan tersebut. Tidak timbul masalah di sini kerana konteks yang dilakukan dalam negara kita jauh berbeza dari negara-negara Timur tengah dan Afrika.

21. Khitan yang sebenarnya hanya melukakan sedikit atau merapikan dan tidak pun mendatangkan mudharat yang besar. Kajian-kajian tersebut juga mendapati bahawa kebanyakan prosedur khitan dilakukan oleh para doktor dan orang yang sudah mahir berkaitan dengan itu. Majoriti dari pengkhitan belajar melalui pengalaman dan pembelajaran sejak turun temurun. 

22. Adalah menjadi sesuatu yang agak lumrah kerana isu khitan wanita ini memang berlaku dalam negara kita. Beberapa kajian mendapati bahawa 93 peratus hingga 99.3 peratus daripada wanita dalam negara kita berkhitan. Tiada pengakuan komplikasi yang teruk seperti parut yang besar, tertutupnya lubang vagina, sukar untuk kencing, mengalami masalah semasa melakukan hubungan dengan pasangan dan sebagainya. Majoriti di kalangan mereka adalah mengalami kesan ringan dan sementara seperti pendarahan sedikit dan sebagainya seperti apa yang dinyatakan di atas. Kajian lain pula mendapati bahawa 80 peratus hingga 83 peratus di kalangan mereka hanya mempunyai kesan sampingan yang sedikit dan tidak pun mendatangkan masalah besar dalam kehidupan mereka sama ada secara zahir dan batin.

23. Implikasi yang mungkin kita boleh simpulkan daripada pertemuan pada kali ini adalah jika kita ingin wajibkan ataupun mengharuskan sama ada ianya jatuh kepada sunat atau wajib, siapa yang perlu mengendalikan khidmat khitan? Sudah tentu dan sudah pasti bahawa mereka yang mahir dalam bab melakukan khitan. Siapa? Mestilah ahli perubatan atau individu yang dilatih. Siapa pula yang akan melatih dan memandu? Juga ahli perubatan. Cuma apabila perubatan itu tidak membenarkan atas dasar bahawa doktor tidak boleh melakukan kemudaratan kepada pesakit tanpa asas manfaat perubatan, jadi inilah yang akan menjadi sekatan kepada doktor untuk melakukannya. Sebenarnya prosedur dia itu adalah senang dan ringkas saja, tidak perlu doktor pakar pun. Tetapi menyerahkan anak-anak kita kepada orang yang bukan arif dalam melakukan khitan ini, dikhuatiri boleh berlaku khitan secara ekstrem sehingga menimbulkan kesan-kesan buruk. 

24. Sebaliknya, andai kata kita ingin mengharamkan pula dengan mengikut apa yang telah diarahkan oleh WHO sedangkan syariah kita masih lagi membenarkan perbuatan itu. Bahkan masih dilakukan dan majoriti di kalangan pengendali khitan masih berpegang kepada hukum wajib atau sunat. Adakah kita ingin menuduh ibu bapa dan pengkhitan itu melawan fatwa haram? Isu kedua, rakyat dalam negara kita akan menuduh bahawa kerajaan itu telah liberal dan mengikut kaum kafir. 

25. Lebih sadis lagi mereka akan menuduh bahawa kerajaan sudah mengikut jarum-jarum yang telah dimainkan oleh Dajal bagi menolak syariat dan menghapuskan syariat Islam. Marilah kita fikir-fikirkan bagaimana solusi terbaik untuk menangani masalah ini.

26. Untuk mengetahui komplikasi secara serius sama ada ianya wujud ataupun tidak dalam negara, adalah dicadangkan supaya perlu ada case report, ataupun kajian yang lebih bermethodologi tinggi berkaitan dengan insiden kes yang teruk berlaku dalam negara kita. Jika ianya benar wujud sekalipun hukum khitan yang disyaratkan tidak berubah, cuma perlu diambil tindakan wajar agar perkara sama tidak berlaku pada masa depan.

27. Akhir sekali saya menyarankan supaya diadakan satu garis panduan tidak kisah sama ada dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia ataupun mana-mana kementerian sama ada Kementerian wanita ataupun pihak agama itu sendiri. Yang mungkin akan dipandu bagaimana kaedah-kaedah yang sebaiknya boleh dilakukan untuk memberikan penerangan dan memberi garis panduan kepada pengkhitan yang sepatutnya. Kaedah yang tepat dan paling minima risiko kemudaratan perlu dipandu supaya tidak berlaku kes ekstrem seperti yang kita bincangkan di atas tadi.

28. Semoga perbincangan kita pada kali ini mendatangkan berkat dan manfaat kepada semua. Apa yang terbaik demi mempertahankan syariat agama kita ini jangan sesekali kita mendengar kata-kata kuffar yang cuba menghalang dan menghapuskan syariat Islam dalam negara kita dan juga dalam dunia Islam.

Sekian Billahi taufik wal hidayah.

Assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh.

*Saya bimbang dengan pemikiran mengharamkan sesuatu yang halal!

DR SUHAZELI ABDULLAH
Pakar Perubatan Keluarga
Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) – HARAKAHDAILY 20/2/2023

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -
- Advertisement -