Kepala Batas kena `serang’ hangatkan Dewan Rakyat

Persidangan Dewan Rakyat berlangsung selama tujuh minggu.
- Advertisement -

Apa ada pada angka? Hidup manusia banyak berkait dengan angka. Bermula dengan manusia dilahirkan di dunia, tarikh kelahirannya akan diingati dan diraikan sehingga hari kematiannya. Tarikh kematiannya pula akan diingati oleh anak-anak atau warisnya.

- Advertisement -

Umat Islam menunaikan solat fardhu lima kali sehari, Rukun Islam ada lima perkara dan Rukun Iman pula enam perkara. Pendek kata, angka sangat penting.

Begitu juga dalam politik, angka memainkan peranan penting. Oleh kerana satu angka, kerajaan boleh dibentuk dan kerana satu angka juga, kerajaan boleh tumbang.

Mesyuarat pertama, penggal kedua Parlimen Ke-15 secara rasmi bermula 13 Februari lalu juga berkait dengan angka. Sebelum pergi jauh, molek juga diterangkan maksud mesyuarat dan penggal.

Makna mesyuarat dan penggal

Mengikut Monique M Smith dan Maha Balakrishnan dalam buku Tatacara Parlimen Malaysia, setiap penggal Parlimen dibahagikan kepada mesyuarat. Setiap mesyuarat mengandungi beberapa persidangan yang berlangsung selama beberapa minggu dalam takwim penggal tersebut.

Sesebuah mesyuarat bermula apabila majlis pertama kalinya dipanggil untuk bermesyuarat dan berakhir apabila majlis ditangguhkan selama lebih 14 hari atau apabila penggal Parlimen tersebut tamat.

Penggal pula bermaksud tempoh yang bermula dari Parlimen dipanggil untuk bersidang sehingga Parlimen diprorog atau dibubarkan. Penggal pertama sebuah Parlimen baharu mesti bermula dalam tempoh 120 hari tarikh Pilihan Raya Umum.

Datuk Awang Hashim antara Ahli Parlimen berpengalaman PN.

Sidang Dewan Rakyat pasca PRU15

Selepas mengangkat sumpah pada 19 Disember lalu, ramai yang ternanti-nanti sidang Parlimen kali ini kerana dari segi angka, PERIKATAN NASIONAL (PN) menampilkan bilangan Ahli Parlimen yang signifikan, iaitu seramai 74 orang.

Walaupun blok kerajaan lebih ramai, tetapi gabungan terbesar kerajaan campuran, iaitu Pakatan Harapan (PH) hanya 82 Ahli Parlimen, suatu angka yang lebih sedikit berbanding PN.

Bagaimana sepanjang tiga hari perjalanan Dewan Rakyat?

Walaupun berada di blok pembangkang, PN dibarisi Ahli Parlimen berpengalaman, bukan sahaja dari segi angka berkecimpung dalam politik, tetapi pernah memegang jawatan Perdana Menteri, Menteri Besar, anggota Kabinet serta senator dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).

Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Ketua Ahli Dewan Rakyat (ADR), Tuan Guru Tan Sri Abdul Hadi Awang (Timbalan Ketua ADR), Datuk Seri Hamzah Zainuddin (Ketua Pembangkang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan (Ketua Whip) dan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (Timbalan Ketua Whip) – semua adalah Ahli Parlimen berpengalaman luas dalam kerajaan.

Ini yang menyebabkan posisi PN sebagai pembangkang mampu memenuhi peranan `semak dan imbang’ terhadap kerajaan campuran.

Keadaan ini jauh berbeza berbanding era Barisan Nasional (BN) menguasai Dewan Rakyat dengan sebahagian besar Ahli Parlimen pembangkang tiada pengalaman dalam Kabinet.

Penubuhan Jawatankuasa Portfolio Ahli Dewan Rakyat PN juga dijangka memberi impak besar, malah kesannya dapat dilihat seperti Ahli Parlimen Rantau Panjang, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff, bersuara berkaitan portfolionya – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Ahli Parlimen PN dari PAS yang berpengalaman seperti Datuk Awang Hashim (Pendang), Ahmad Fadhli Shaari (Pasir Mas) dan Ahmad Tarmizi Sulaiman (Sik), sekadar menyebut beberapa nama juga ibarat abang yang bukan saja lantang, malah menjadi contoh muka baharu.

Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Siti Mastura Muhammad

Kepala Batas lulus ujian

Bagi Ahli Parlimen PH yang berpengalaman, mereka mungkin menyangka muka baharu PN apatah lagi wanita boleh dibuli.

Namun ibarat buku bertemu ruas, Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer, yang mempunyai rekod mengganggu perbahasan lawan dengan `berkesan’, termasuk mantan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak, ibarat buku bertemu ruas.

Bersama Ahli Parlimen PH lain seperti Dato’ Muhammad Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau) dan Sim Tze Tzin (Bayan Baru) tidak henti-henti mengganggu perbahasan pertama Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Siti Mastura Muhammad.

Rayer dan lain-lain bukan sahaja gagal membuat celahan, malah wakil Kepala Batas sempat menyindir Rayer dan Ahli Parlimen kerajaan lain yang tidak berpuas hati dengannya apabila berkata: “Terima kasih tuan Yang di-Pertua. Panas tak apa, tapi jangan koyak.”

Namun perlu dipuji Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Alice Lau, walaupun dari DAP, tetapi mempamerkan solidariti wanita apabila melihat Dr Mastura `diserang’ bertubi-tubi Ahli Parlimen lelaki walaupun dari partinya sendiri.

“Yang Berhormat, sila duduk. Biar Yang Berhormat Kepala Batas habiskan ucapannya,” kata Alice yang juga Ahli Parlimen Lanang.

“Sesiapa yang ingin rehat, sila keluar. Jangan bising,” kata Alice `membantu’ Dr Mastura.

Senario ini cukup menarik kerana politik kepartian diketepikan apabila Ahli Parlimen wanita menunjukkan persahabatan gender mengatasi ideologi politik, sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Dewan Rakyat dijangka lebih panas

Tiga hari masih terlalu awal. Ada enam minggu lagi persidangan Dewan Rakyat, iaitu hingga 30 Mac. Bagi Ahli Parlimen, perbahasan pertama mereka amat dinanti-nantikan. Beberapa Ahli Parlimen baharu seperti Mohd Syahir Che Sulaiman (Bachok), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Machang) dan Afnan Hamimi Taib Azamudden (Alor Setar), seperti Dr Mastura juga lulus dan dijangka memberi impak besar.

Antara cabaran utama Ahli Parlimen baharu bukan sahaja menghadapi gangguan apabila menyentuh isu panas, tetapi berucap dengan idea dan fakta yang bernas, segar dan tepat.

Mereka juga dengan cepat perlu menguasai Peraturan Dewan Rakyat, termasuk perkara kecil, tetapi penting seperti cara mengemukakan soalan tambahan – perlu tekan butang.

Timbalan Yang di-Pertua, Dato’ Ramli Mohd Nor: Yang Berhormat, lain kali kalau berdiri, tolong terus tekan butang. Yang Berhormat Bukit Bintang bangun dulu, tak tekan butang, tak keluar di sini. Yang keluar Yang Berhormat Ledang. Saya bagi (soalan tambahan) pada Yang Berhormat Ledang lah.

Tuan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang): (Ketawa) Terima kasih. – HARAKAHDAILY 18/2/23

- Advertisement -