KKM perlu kaji semula projek rintis PrEP

Ahmad Yahaya
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pemberian ubat PrEP (Pre-Exposure Prophylaxis) secara permintaan bukan jalan penyelesaian mencegah HIV, sebaliknya memberi implikasi lain, khususnya kepada perkembangan LGBT di negara ini.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Pokok Sena, Dato’ Ahmad Yahaya berkata, projek rintis di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) wajar diteliti semula kerana ia bukan pendekatan menyeluruh untuk mengawal penularan penyakit berkenaan.

“Kerajaan wajar mewujud serta menggubal dasar-dasar menolak prinsip dan tuntutan terhadap orientasi seksual dan identiti gender yang menjadi lapangan perjuangan golongan LGBT ketika ini.

“Selain menyekat platform media sosial, sama ada berpengkalan dalam mahu pun luar negara dan mengukuhkan institusi kekeluargaan bagi mengurangkan pengaruh budaya songsang itu dari terus menular,” katanya ketika membahaskan Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya memahami prinsip yang cuba ditengahkan oleh KKM untuk menyelamatkan golongan berisiko kepada HIV, namun pendekatan melalui pemberian PrEP bukan cara yang terbaik.

Sebaliknya, Ahmad berkata KKM perlu mengambil pandangan agama dan moral melalui sinergi bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Majlis Mufti di seluruh negara secara berstrategik.

Pada masa sama, katanya kerajaan perlu mengemukakan statistik semasa setiap golongan LGBT serta punca dan bagaimana budaya songsang ini boleh menular dalam negara.

Sementara itu, beliau menggesa supaya semua pihak, sama ada kerajaan mahu pun Ahli Parlimen matang dalam menjalankan tugas.

“Kematangan itu bukan sekadar di bibir, sebaliknya mesti dibuktikan dengan komitmen dan usaha. Kematangan rakyat menuntut kematangan pemimpin,” ujar beliau lagi.

Namun, katanya kerajaan PH dan BN dilihat seolah-olah mengambil langkah mengundur ke belakang apabila reformasi integriti tidak dijadikan keutamaan dan sebaliknya hanya sekadar di awangan.

Amalan nepotisme tegas beliau masih diangkat sebagai norma baharu dalam kerajaan campuran PH dan BN walaupun dilapik dengan pelbagai alasan seperti kerja tanpa gaji atau pro bono.

“Jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan juga diletakkan di bawah individu yang sama walaupun sebelum ini pihak sebelah sana jugalah yang lantang membidas pihak lain mengamalkan perkara yang sama.

“Bagaimana mungkin politik tanah air akan bergerak ke arah suatu kematangan yang tinggi jika mentaliti dan amalan kerajaan hari ini masih di takuk yang lama?” soalnya. – HARAKAHDAILY 15/2/23

- Advertisement -