Jangan abaikan kerajaan negeri di bawah PN

Nik Muhammad Zawawi Salleh
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan Pusat perlu melayan sama rata semua kerajaan negeri, termasuk yang ditadbir oleh PERIKATAN NASIONAL (PN) walaupun berbeza parti politik.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Pasir Puteh, Dato’ Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, ini penting bagi membangunkan negeri di bawah PN, iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.

“Sejauh mana komitmen kerajaan (Pusat) yang baharu ditubuhkan ini untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri yang diperintah oleh PN berkaitan pembangunan kepada golongan bersasar, terutama B40 yang berada di kawasan pedalaman.

“Ia berkaitan aspek memajukan negeri supaya peluang pekerjaan kepada mereka terbentuk sebagai contoh hubungan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) seperti di Kelantan yang berpotensi untuk dikembangkan sektor pelancongan,” katanya dalam soalan lisan tambahan di Dewan Rakyat, hari ini.

Nik Muhammad Zawawi berkata, sektor tersebut sudah tentu memberi pulangan besar kepada negara serta dapat menyelesaikan 10 agenda KKDW seperti yang dibincangkan dalam bengkel hala tuju kementerian, baru-baru ini.

“Saya mengucapkan syabas dan tahniah di atas rangka yang telah dibuat, cuma saya ingin tahu sejauh mana jaminan yang diberikan untuk negeri yang disebut sebagai pembangkang, tapi dalam konteks negeri ia adalah kerajaan,’ katanya.

Sementara Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, memberi jaminan akan memberi komitmen kepada semua kerajaan negeri tanpa mengira kefahaman politik.

“Saya telah mengambil keputusan supaya semua negeri untuk turut terlibat dalam mesyuarat yang kita akan adakan sebanyak tiga kali setahun.

“Soal infrastruktur, kemudahan, pendidikan dan pembangunan insan di luar bandar kita tidak ada kompromi dengan mana-mana kerajaan negeri yang sah pembentukannya,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/2/2023

- Advertisement -