Tiga wanita maut kereta bertembung lori muatan sawit

- Advertisement -

KUANTAN: Tiga wanita termasuk dua beradik maut selepas kereta dinaiki mereka terbabas dan bertembung dengan treler membawa muatan sawit di Kilometer 27 Jalan Ibam-Rompin, Rompin malam tadi.

- Advertisement -

Ketua Polis Daerah Rompin DSP Mohd Azahari Mukhtar berkata kemalangan pada 10.51 malam itu menyebabkan semua mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.

Mereka ialah pemandu kereta Suhada Ramli, 22, kakaknya Nazira, 23, yang duduk di bahagian penumpang hadapan serta rakan mereka Nurul Natasha Ahmad Akbal, 22, dengan semuanya beralamat di Felda Selendang 1, Rompin.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila Perodua Myvi dinaiki mangsa dari arah Muadzam Shah ke Rompin terbabas ke lorong bertentangan dan bertembung dengan treler, menyebabkan kereta itu remuk sepenuhnya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Azahari berkata mayat dibawa ke Hospital Muadzam Shah, Rompin untuk bedah siasat manakala kemalangan itu disiasat lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA

- Advertisement -