Real Madrid juarai Piala Dunia Kelab

Gaya Karim Benzema selepas menjaringkan gol ketiga Real Madrid.
- Advertisement -

Real Madrid memenangi Piala Dunia Kelab kali kelima selepas menewaskan kelab Arab Saudi, Al Hilal, 5-3 pada perlawanan akhir dengan Federico Valverde dan Vinicius Jr, masing-masing menjaringkan dua gol dan satu lagi oleh Karim Benzema.

- Advertisement -

Perlawanan yang kelihatan berat sebelah di Stadium Putera Moulay Abdallah, Rabat, Maghribi, dengan Real tidak pernah kelihatan melepaskan kawalan walaupun membenarkan Al Hilal menjaringkan tiga kali dengan Luciano Vietto menjaringkan dua gol.

Penyokong Maghribi mencipta suasana meriah menikmati jaringan gol yang bermula awal apabila juara Eropah membuka jaringan pada minit ke-13.

Valverde membuat hantaran kepada Benzema yang kemudian meneruskan gerakan kepada Vinicius untuk merembat masuk dari jarak dekat.

Penyerang Uruguay itu sekali lagi menambah pendahuluan Real lima minit kemudian, tetapi Al Hilal melawan melalui jaringan pemain kebangsaan Mali, Moussa Marega dalam serangan balas pantas.

Real mengawal tempo dengan 70 peratus penguasaan bola, tetapi kelemahan barisan pertahanan terdedah beberapa kali dengan penyerang Al Hilal, Marega dan Vietto menimbulkan masalah kepada Antonio Rudiger dan Eduardo Camavinga.

Vinicius menjadi tumpuan selepas rehat apabila mempamerkan kemahirannya menentang pertahanan Al Hilal menyebabkan penonton berdiri setiap kali pemain Brazil itu menyerang.

Luciano Vietto menjaringkan gol ketiga Al Hilal. – REUTERS

Dia menjadi perancang untuk Benzema meledak gol ketiga Real dengan hantaran lintang pada minit ke-54, sebelum Valverde melebarkan kedudukan dari jarak dekat.

Vietto mengurangkan defisit untuk Al Hilal melalui satu lagi serangan balas lima minit kemudian, tetapi sebarang harapan untuk bangkit musnah apabila Vinicius menambah satu lagi gol untuk Real pada minit ke-69 dengan penyudah kemas.

Penyerang Al Hilal dari Argentina, Vietto menjaringkan gol keduanya, 10 minit kemudian untuk melengkapkan perlawanan dengan jumlah jaringan yang banyak, menggembirakan penyokong Maghribi.

Selepas memenangi tiga trofi Piala Antara Benua iaitu pertemuan antara juara Eropah dan Amerika Selatan, Real kini mempunyai lapan gelaran global.

Pasukan paling berjaya seterusnya ialah AC Milan dan Bayern Munich yang masing-masing memiliki empat gelaran dalam dua pertandingan itu.

“Kami sangat gembira. Buat kali kelapan Real Madrid menjadi Juara Dunia,” kata Pengurus Real, Carlo Ancelotti.

“Kami bermain dengan bagus, teritama barisan hadapan yang berkualiti. Vinicius, Benzema, Valverde… mereka bermain dengan sangat baik. Mereka menunjukkan kemahiran dan kualiti. Ia hebat.” – REUTERS

- Advertisement -