Lirindon Krasniqi dipinjamkan kepada TFC musim ini

Lirindon Krasniqi
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Pemain naturalisasi, Lirindon Krasniqi sah mewakili Terengganu FC (TFC) secara pinjaman daripada kelab gergasi, Johor Darul Ta’zim (JDT), bagi mengharungi cabaran Liga Malaysia (Liga-M musim 2023.

- Advertisement -

Ketua Pegawai Eksekutif, Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB), Ab Rasid Jusoh, berkata kehadiran penyerang tengah kelahiran Kosovo berusia 31 tahun itu untuk tempoh semusim telah melengkapkan skuad senarai pemain skuad bimbingan ketua jurulatih kelahiran Croatia, Tomislav Steinbruckner.

“Pengalaman luas Krasniqi diyakini mampu membantu TFC menghadapi cabaran Liga-M musim ini dengan cemerlang bersama tonggak import lain seperti Sony Norde, Adisak Kraisorn dan Habib Haroon.

“Apatah lagi kita juga akan beraksi di pentas lebih tinggi iaitu di Piala Konfederasi Asia (AFC),” katanya dalam kenyataan, hari ini.       

Krasniqi memulakan karier bola sepaknya di Liga-M dengan menyertai Kedah pada 2015 hingga 2018 sebelum beralih ke Melaka United FC (MUFC) pada 2019.

Ketika bersama Kedah, beliau menjadi tonggak utama membantu pasukan tersebut menjulang Piala Malaysia pada 2016 dan Piala FA pada 2017.

Pada 2019, pemain berketinggian 1.92 itu beralih angin ke JDT dan berjaya mendapatkan kerakyatan sekali gus menjadi pemain naturalisasi pada 2020. – BERNAMA

- Advertisement -