Menelusuri kisah agung surah al-Kahfi (3)

- Advertisement -

SURAH ini dimulakan dengan ucapan ‘Alhamdulillah‘ (pujian kepada Allah S.W.T). Tujuannya adalah kerana Allah telah menurunkan kitab suci al-Quran kepada Nabi Muhammad S.A.W. Sehubungan itu, kita diajar untuk mengucapkan syukur dan berterima kasih kepada-Nya kerana melalui al-Quran, Allah membimbing dan memberikan panduan kepada kita untuk mengatur kehidupan agar selari dengan kehendak-Nya. 

Selain menjadi petunjuk, al-Quran juga membawa khabar gembira kepada orang-orang beriman yang melaksanakan amal soleh. Mereka akan mendapat ganjaran yang baik di dunia seperti kurnia dan rahmat-Nya, apatah lagi di akhirat seperti memasuki syurga. 

Al-Quran turut membawa berita ancaman kepada orang-orang kufur terutama orang-orang syirik terdahulu yang berada di Makkah. Antara amalan syirik yang mereka lakukan adalah;

1. Menyembah banyak berhala yang terdiri daripada pelbagai bentuk, rupa, saiz, dan

2. Menganggap bahawa Tuhan mempunyai anak iaitu malaikat;
a. menganggap bahawa malaikat adalah perempuan.
b. tidak menginginkan anak perempuan kerana apabila berlaku pergaduhan dalam peperangan, anak perempuan tidak dapat membela mereka.
c. anak perempuan juga akan ditawan serta dijadikan sebagai gundik dan hamba, hal ini memalukan mereka.
d. sebahagiannya sanggup membunuh anak perempuan mereka hidup-hidup.

Kesesatan kaum kafir yang mendakwa mengenai tuhan mempunyai anak

- Advertisement -

مَّا لَهُم بِهِۦ مِنْ عِلْمٍ وَلَا لِءَابَآئِهِمْ كَبُرَتْ كَلِمَةً تَخْرُجُ مِنْ أَفْوَٰهِهِمْ إِن يَقُولُونَ إِلَّا كَذِبًا (٥)

“(Sebenarnya) mereka tiada mempunyai sebarang pengetahuan mengenainya, dan tiada juga bagi datuk nenek mereka; besar sungguh perkataan syirik yang keluar dari mulut mereka; mereka hanya mengatakan perkara yang dusta. (5)”

Terdapat tiga golongan yang menuduh bahawa Tuhan mempunyai anak iaitu; 

1. Orang Arab yang menganggap Malaikat sebagai anak Tuhan.

2. Orang Kristian yang menganggap Nabi Isa sebagai anak Tuhan;
a. alasannya adalah kerana Nabi Isa tidak mempunyai ayah.
b. Maryam melahirkan Nabi Isa tanpa suami dan beliau tidak pernah berkahwin
c. ada pendapat di kalangan mereka yang menyatakan bahawa Maryam berkahwin dengan seorang tukang kayu yang bernama Yusuf (Joseph The Carpenter) selepas melahirkan Nabi Isa.

3. Orang Yahudi yang menganggap Nabi Uzair sebagai anak Tuhan.
a. Nabi Uzair dimatikan oleh Allah selama seratus tahun dan kemudian dihidupkan semula.

Allah menjawab segala tuduhan tersebut dalam ayat ini. Segalanya tidak mempunyai asas ilmu, pengetahuan, hujah mahupun dalil. Ilmu adalah sesuatu yang boleh dibuktikan kebenarannya atau ketibaan makna dalam diri contohnya apabila kita melihat bola, bentuknya bulat, kita pun menyebutnya sebagai bola kerana ilmu mengenai bola ada dalam kepala kita. 

Asas kepada akidah ialah wahyu iaitu al-Quran dan Sunnah yang sahih. Sunnah yang sahih kebanyakannya ada dalam enam kitab utama dalam kitab hadis iaitu Bukhari, Muslim, Tirmizi, Abu Dawud, Nasai dan Ibn Majah. Sesuatu yang berkaitan dengan akidah tidak boleh dipertikaikan kerana ia tidak datang dengan khayalan tetapi secara langsung daripada Allah. Pangkat Nabi pun tidak boleh diperoleh melalui ikhtiar tetapi Allah yang memilihnya.

Hidayah adalah milik Allah, bukan kita

فَلَعَلَّكَ بَٰخِعٌ نَّفْسَكَ عَلَىٰٓ ءَاثَٰرِهِمْ إِن لَّمْ يُؤْمِنُوا۟ بِهَٰذَا ٱلْحَدِيثِ أَسَفًا (٦)

“Maka jangan-jangan pula engkau (wahai Muhammad), membinasakan dirimu disebabkan menanggung dukacita terhadap kesan-kesan perbuatan buruk mereka, jika mereka enggan beriman kepada keterangan al-Quran ini. (6)”

Nabi Muhammad S.A.W sangat berharap agar kaumnya menjadi yang terbaik dan beriman kepada Allah. Orang Arab pada ketika itu merupakan ahli keluarganya misalnya bapa saudara, sepupu, dua pupu dan datuk saudara. Apabila Nabi membawa risalah Islam kepada kaum keluarganya, Baginda berharap agar mereka menerimanya. Jika mereka tidak menerima Islam, maka sudah pasti mereka akan dihumbankan ke dalam neraka. 

Hal ini membuatkan Nabi berasa sangat runsing. Oleh sebab itu, Allah menegur Nabi melalui ayat ini. Perbuatan seperti tidak peduli akan diri sendiri dan tidak mahu makan akibat orang lain tidak mahu mendengar apa yang kita sampaikan adalah ditegah sama sekali. 

Tugas Rasulullah adalah menyampaikan sahaja. Begitu juga dengan kita sebagai pendakwah, tugas kita adalah perlu menyampaikan sahaja dengan harapan orang lain boleh berfikir dan mengikuti jalan yang benar. Hidayah adalah milik Allah, bukan kita. Nabi sendiri tidak mampu memberi hidayah kepada bapa saudaranya iaitu Abu Talib. Walaupun Abu Talib memeliharanya sejak kecil, menyayanginya, membelanya dan mempertahankannya daripada musuh, dia tetap tidak memeluk Islam sehingga ke akhir hayat. Sehinggakan di saat kematiannya, Nabi berada dekat dengannya dan mengajarnya supaya mengucap, namun dia tetap tidak mengucap sehingga meninggal dunia. 

Allah boleh memberi hidayah kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya. Walaupun ada orang yang buruk perangainya semasa muda, namun akhirnya Allah memberinya hidayah dan dia menjadi baik sehingga ke akhir hayat. Ulamak berpesan, apabila kita melihat kehidupan orang lain, elakkanlah daripada terus membuat kesimpulan. Mungkin kita melihatnya baik tetapi di akhirnya nanti belum tahu lagi. Yang penting adalah pengakhiran. Oleh sebab itu, kita disarankan agar meminta ‘husnul khatimah’ (kesudahan yang baik). 

Ada seorang Sahabat yang dicuri hartanya oleh penyeluk saku. Beliau berdoa;

“Wahai Tuhan.. kalau orang ini mencuri kerana dia susah dan memerlukan duit, biarlah duit yang diambilnya itu boleh menyelesaikan hidupnya dan bimbinglah dia ke jalan yang baik. Tetapi kalau orang ini mencuri kerana niatnya jahat, biarlah perbuatannya ini adalah yang terakhir.” [1]

Inilah cara yang ditunjukkan oleh Sahabat apabila berhadapan dengan kehidupan. Perasaan marah itu memang biasa namun kita haruslah mengawalnya. 

Pengakhiran hidup bergantung pada niat seseorang

Terdapat dua kisah yang boleh dijadikan sebagai pengajaran untuk kita sama-sama beringat dan memberi ruang kepada seseorang supaya dia boleh membetulkan kesilapannya di hujung usianya. Kisah-kisah tersebut adalah seperti berikut;

1. Kisah mengenai dua beradik yang diceritakan dalam Hadis dalam Riyadhus Solihin

Abang berakhlak baik dan sentiasa beribadah manakala adik pula berakhlak buruk seperti berjudi, minum arak dan kaki perempuan. Di peringkat usia yang sudah pun meningkat, si adik tiba-tiba terfikir untuk berbuat kebaikan. Si abang pula tiba-tiba termakan hasutan syaitan untuk menikmati keseronokan dunia. Akhirnya, kedua-dua beradik itu meninggal dunia. Malaikat merujuk kepada Allah mengenai kesudahan mereka berdua sama ada di dalam syurga atau neraka. Allah meminta supaya melihat akan niat mereka. Nabi S.A.W ada menyebut bahawa kita akan dibangkitkan di akhirat kelak atas niat masing-masing. [2]

Seorang lelaki membunuh sembilan puluh sembilan orang

Ada suatu ketika datang penyesalan dalam dirinya. Lalu, dia pergi berjumpa dengan Tok Lebai untuk menanyakan mengenai peluang bertaubat dan menjadi orang yang lebih baik. Jawapan Tok Lebai yang menunjukkan bahawa ilmunya kurang mencukupi menyebabkan lelaki itu berasa marah lalu membunuhnya. Jadi, mangsa pembunuhan menjadi genap seratus. Lelaki itu termenung lalu pergi berjumpa dengan orang alim. Orang alim memberitahunya bahawa Allah itu Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang. Jika dia bertaubat dengan ikhlas, Insya-Allah taubatnya akan diterima. Cuma, jika dia benar-benar ingin bertaubat, dia ditegah untuk pulang semula ke kampungnya dan diminta untuk berpindah ke kampung lain yang lebih baik. Semasa dalam perjalanan, lelaki itu meninggal dunia. Malaikat Rahmat dan Malaikat Azab kemudian turun dan berbahas untuk menetapkan pengakhirannya. Tiada keputusan menyebabkan kedua-dua malaikat bertemu dengan Allah. Lalu, Allah meminta agar mereka mengukur jarak perjalanan antara tempat meninggal dan kampungnya atau tempat meninggal dan tempat yang ingin dituju. Setelah diukur, jarak itu lebih dekat dengan tempat yang ingin dituju. [3]

Harta; datang dari mana dan belanja ke mana?

إِنَّا جَعَلْنَا مَا عَلَى ٱلْأَرْضِ زِينَةً لَّهَا لِنَبْلُوَهُمْ أَيُّهُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا (٧)

“Sesungguhnya Kami telah jadikan apa yang ada di muka bumi sebagai perhiasan baginya, kerana kami hendak menguji mereka, siapakah di antaranya yang lebih baik amalnya. (7)”

Allah menjadikan dunia ini dengan hiasan misalnya harta, kebun dan sebagainya. Tujuannya adalah untuk menguji sama ada kita akan terpesona dan terpedaya sehingga melupakan Allah S.W.T atau mengambil manfaat mengikut kaedah-kaedah agama apabila berhadapan dengannya. Kita memang inginkan harta dan memerlukannya namun agama mengajar kita bagaimana untuk mengambilnya sama ada mencarinya dengan cara yang halal atau tidak dan bagaimana untuk menggunakannya:

عَنْ أَبِي بَرْزَةَ الْأَسْلَمِيِّ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا تَزُولُ قَدَمَا عَبْدٍ يَوْمَ الْقِيَامَةِ حَتَّى يُسْأَلَ عَنْ عُمُرِهِ فِيمَا أَفْنَاهُ وَعَنْ عِلْمِهِ فِيمَ فَعَلَ وَعَنْ مَالِهِ مِنْ أَيْنَ اكْتَسَبَهُ وَفِيمَ أَنْفَقَهُ وَعَنْ جِسْمِهِ فِيمَ أَبْلَاه

“Dari Abu Barzah Al Aslami berkata: Rasulullah S.A.W bersabda: “Dua kaki seorang hamba tidak akan bergerak (pada hari kiamat) sehingga dia ditanya mengenai umurnya, ke mana dihabiskan, mengenai ilmunya apakah yang telah dilakukan dengan ilmunya, mengenai hartanya dari mana diperolehi dan ke mana dibelanjakan dan mengenai tubuh badannya untuk apa digunakannya” [4]

Dalam Hadis di atas, disebut bahawa apabila kita meninggal dan dihimpunkan di padang mahsyar, kita akan ditanya mengenai empat perkara iaitu solat, harta dan sebagainya. Berkaitan dengan harta, kita akan ditanya mengenai harta itu datang dari mana dan ke mana ia dibelanjakan. 

Hari kiamat; bersediakah kita?

وَإِنَّا لَجَٰعِلُونَ مَا عَلَيْهَا صَعِيدًا جُرُزًا (٨)

“Dan sesungguhnya Kami akan jadikan apa yang ada di bumi itu (punah-ranah) sebagai tanah yang tandus. (8)”

Apabila berlaku kiamat, semuanya hancur. Tanah yang subur dan tanaman juga akan musnah. Dalam satu Hadis, disebut jarak antara kita dan hari kiamat adalah ibarat dua jari iaitu jari telunjuk dan jari tengah. Sebuah Hadis yang diriwayatkan daripada Sahl bin Sa’d R.A, Rasulullah S.A.W bersabda:

بُعِثْتُ أَنَا وَالسَّاعَةُ كَهَاتَيْنِ، وَيُشِيرُ بِإِصْبَعَيْهِ فَيَمُدُّ هُمَا

“Jarak diutusnya aku dan hari Kiamat seperti dua (jari) ini.” Baginda memberikan isyarat dengan kedua jarinya (jari telunjuk dan jari tengah), lalu merenggangkannya” [5].

Hari kiamat boleh berlaku pada bila-bila masa. Oleh sebab itu, kita hendaklah sentiasa bersedia. Tanda-tandanya pun sudah ada misalnya tumbuhan hijau mula menumbuh di bukit-bukau di Tanah Arab. 

Kebenaran kenabian Muhammad diuji 

أَمْ حَسِبْتَ أَنَّ أَصْحَٰبَ ٱلْكَهْفِ وَٱلرَّقِيمِ كَانُوا۟ مِنْ ءَايَٰتِنَا عَجَبًا (٩)

“Adakah engkau menyangka (wahai Muhammad), bahawa kisah ‘Ashaabul Kahfi’ dan ‘Ar-Raqiim’ itu sahaja yang menakjubkan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Kami? (9)”

Kisah Ashabul Kahfi muncul adalah berpunca daripada orang-orang kafir yang berhadapan dengan Nabi S.A.W pergi meminta nasihat orang Yahudi di Madinah. Mereka ingin mengetahui mengenai kebenaran kenabian Muhammad. Mereka tidak mengetahui mengenai kisah ini kerana mereka tidak terdedah kepada pengetahuan. Berbeza dengan orang Yahudi yang merupakan ahli kitab. 

Lalu, orang Yahudi pun mengajar mereka supaya mengajukan tiga soalan kepada Nabi. Sekiranya soalan-soalan tersebut dapat dijawab, maka benarlah Muhammad itu ialah seorang Nabi. Soalan-soalan itu merangkumi tentang Zulkarnain, Ashabul Kahfi dan roh [6]. Walaupun kisah Ashabul Kahfi ini kelihatan hebat, dimatikan selama tiga ratus tahun kemudian dihidupkan semula, namun penciptaan langit dan bumi sebenarnya lebih menakjubkan. Langit yang tergantung di atas sana tanpa tiang dan tidak pernah runtuh. 

Begitu juga dengan kisah Israk dan Mikraj, Sayyidina Abu Bakar menganggapnya sebagai suatu kejadian yang tidak pelik walaupun Rasulullah bercerita mengenai perjalanan pergi ke Baitul Maqdis, naik ke langit kemudian turun semula ke Makkah dalam tempoh masa kurang dua belas jam [7]. Hebat sungguh kejadian ini tetapi lebih hebat lagi yang membuatnya. 

Pemuda beriman yang mengharapkan Rahmat-Nya

إِذْ أَوَى ٱلْفِتْيَةُ إِلَى ٱلْكَهْفِ فَقَالُوا۟ رَبَّنَآ ءَاتِنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً وَهَيِّئْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَدًا (١٠)

“(Ingatkanlah peristiwa) ketika serombongan orang-orang muda pergi ke gua, lalu mereka berdoa: “Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami”. (10)

Sekumpulan pemuda yang keluar dari kampung dan membawa diri untuk mempertahankan agama telah berdoa dengan potongan ayat 9. Pentingnya rahmat dalam hidup. Kita boleh hidup pada hari ini disebabkan oleh rahmat-Nya. Sekiranya Allah tidak mempunyai sifat Rahman, orang kafir tidak akan memperoleh satu benda pun. Rahmat yang paling besar dalam hidup kita adalah agama. Dengan agama, kita menjadi manusia. 

Mereka mengharapkan rahmat-Nya untuk melindungi diri mereka. Mampu ke tujuh orang pemuda bersama seekor anjing melawan sebuah kerajaan yang ingin menangkap mereka kerana mereka beriman? Maka, mereka yang mengikuti ajaran Nabi Isa membawa diri dan meninggalkan kesenangan hidup demi menyelamatkan akidah. Rahmat itu luas seperti selamat daripada kezaliman raja, sihat tubuh badan, makan minum terjaga dan sebagainya. Mereka juga mengharapkan petunjuk-Nya semasa dalam perjalanan. 

Approach moden yang berbeza dengan pendekatan al-Quran

Allah sengaja tidak menceritakan di mana tempat ia berlaku, berbeza dengan buku sejarah yang menceritakan tarikh dan tempat. Kerana menurut ulamak, al-Quran bukanlah buku sejarah tetapi ia membawa sejarah untuk dijadikan iktibar kepada orang yang berfikir. Pengajian subjek Sejarah di sekolah adalah mengenai pencarian fakta dan peristiwa semata-mata dan kita tidak mengambil pengajaran daripadanya. 

Berbeza dengan pendekatan al-Quran, peristiwa itu sebenarnya adalah pengajaran. Pembacaan sejarah yang hanya dengan mengingati fakta tanpa mengambil pengajaran, kita sebenarnya amat rugi. Namun, hari ini kita begitu berbangga dengan fakta. Walhal Islam mengajarkan kita bahawa kita perlu belajar kerana setiap sejarah adalah ibrah. 

Contoh sejarah Melaka, bukan untuk mengetahui siapa hero dan tahun berapa sahaja, tetapi kita perlu belajar mengenai mengapa Melaka menjadi bandar hebat dalam sejarah dan mengapa Melaka jatuh? Mengapa Pasai naik dan kemudiannya jatuh? Acheh juga begitu. Ini semua Kerajaan Islam. Mengapa Kerajaan Umayyah, Abbasiyah dan Turki Uthmaniyyah naik dan kemudiannya jatuh pada tahun 1924? Mengapa Muhammad Al-Fateh menjadi hebat? Mengapa beliau boleh menakluki Constantinople? 

Dalam al-Quran, sejarah Bani Israel berulang kali diceritakan. Menurut ulamak, tujuannya adalah untuk mengajar kita agar memerhati dan mengambil iktibar. Setiap surah membawa kisah Bani Israel pada sudut pandang yang berlainan. Ia ibarat kepingan-kepingan puzzle yang boleh dicantumkan dan akhirnya menjadi sekeping gambar. 

Begitu juga dengan penceritaan Israk Mikraj yang dirasakan ‘sohor’, namun pengajaran? Orang-orang yang tidak menunaikan solat sebelum ini, masih sama keadaannya. Semasa ceramah Israk Mikraj, ramai pula datang memenuhi surau dan masjid untuk sama-sama mendengarnya kerana dijamu Nasi Beriyani dan kambing. Maka, Allah ingin membetulkan perspektif kita untuk melihat dan mendengar dengan tujuan mengambil pengajaran. 

Kuliah Tafsir Mingguan disampaikan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Mohd Amar Abdullah yang juga Naib Presiden PAS pada Isnin, 6 Februari 2023 di Masjid Assidiqin, Mukim Panchor, Kelantan. – HARAKAHDAILY 10/2/2023

Rujukan:

[1] Ihya’ Ulumuddin oleh Imam Al-Ghazali (3/184).
[2] Berdasarkan Hadis Riwayat Abu Daud (no. Hadis 4901).
[3] Berdasarkan Hadis Sahih Riwayat Imam Bukhari (no. Hadis 3470). 
[4] Hadis Riwayat Imam Tirmizi (no. Hadis 2341).
[5] Hadis Riwayat Imam al-Bukhari (no. Hadis 6504) dan Imam Muslim (no. Hadis 2951).
[6] Hadis Riwayat Imam Al-Baihaqi dalam Dalailu an-Nubuwwah (2/269) dan disebut oleh at-Tabari dalam tafsirnya (15/143).
[7] Berdasarkan Hadis Riwayat Imam al-Hakim (no. Hadis 4458).

- Advertisement -