PERANG Tabuk yang berlaku pada tahun 9 Hijrah juga dinamakan dengan Perang Fadhahah. Dinamakan dengan ‘Fadhahah’ kerana dalam perang tersebut banyak pembongkaran berkaitan dengan sikap dan perangai golongan munafik yang begitu memusuhi Islam dan umatnya.
Pembongkaran mengenai sikap dan perangai jahat puak munafik itu kita boleh rujuk dalam Surah At Taubah. Antaranya ialah sebagaimana dalam ayat 79 Allah S.W.T berfirman:
{ ٱلَّذِینَ یَلۡمِزُونَ ٱلۡمُطَّوِّعِینَ مِنَ ٱلۡمُؤۡمِنِینَ فِی ٱلصَّدَقَـٰتِ وَٱلَّذِینَ لَا یَجِدُونَ إِلَّا جُهۡدَهُمۡ فَیَسۡخَرُونَ مِنۡهُمۡ سَخِرَ ٱللَّهُ مِنۡهُمۡ وَلَهُمۡ عَذَابٌ أَلِیمٌ }
“Orang-orang (munafik) yang mencela sebahagian dari orang-orang yang beriman mengenai sedekah-sedekah yang mereka berikan dengan sukarela, dan (mencela) orang-orang yang tidak dapat (mengadakan apa-apa untuk disedekahkan) kecuali sedikit sekadar kemampuannya, serta mereka mengejek-ejeknya, – Allah akan membalas ejek-ejekan mereka, dan bagi mereka (disediakan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”
(At-Taubah:79)
Turunnya ayat ini menggambarkan sikap puak munafik terhadap sedekah para Sahabat R.A apabila menyahut seruan daripada Rasulullah S.A.W untuk membiayai peperangan Tabuk.
Apabila ada di kalangan Sahabat yang menderma banyak mereka berkata ianya adalah riya’. Sebagaimana yang mereka katakan terhadap Abdurrahman bin Auf R.A iaitu, “Tidaklah Abdurrahman bin Auf memberikan sedekah ini melainkan hanya riya'”.
Kecaman dan fitnah golongan munafik ini tidak hanya terhenti kepada Sahabat yang menyedekahkan banyak harta, bahkan kepada Sahabat yang menderma sedikit pun turut terkena tempias dari golongan munafik dengan mengatakan, “Sesungguhnya Allah tidak memerlukan sedekah yang sedikit ini”.
Begitulah antara sikap munafik yang dibongkar dalam peristiwa perang Tabuk, maka tidak hairanlah kalau Perang Tabuk hakikatnya ialah peperangan antara Orang Beriman vs Orang Munafik, kerana perancangan awalnya ialah peperangan antara Orang Beriman vs Rom atau Kristian Arab.
Ini baru satu sikap yang dibongkar, ada beberapa lagi sikap dan perbuatan jahat golongan munafik yang diceritakan dalam al-Quran mengenai perang Tabuk ini.
Semoga Allah menjauhi kita daripada sikap-sikap tersebut.
IBNU SATIRIN AL BANTHANY – HARAKAHDAILY 9/2/2023
Sumber Asal: https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=pfbid031nCXUq8C9Ci8Yqy1owVdqX5iGR6j6w26LgFg6mZ74jv1VEQTLCb9wxfHd54urrPdl&id=100061178882702&sfnsn=mo&mibextid=ktaAd4
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!