Arika ubah wajah Kubang Kerian Bandar Diraja

- Advertisement -

KOTA BHARU: Selain Tunjong, Lembah Sireh dan Pasir Tumboh, Kubang Kerian juga berubah wajah sekarang dengan muncul sebagai pusat pertumbuhan baharu.

- Advertisement -

Deretan bangunan rumah kedai kelihatan dari Simpang Empat Kubang Kerian sehingga ke Demit. Bandar baharu pula muncul di hadapan Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM).

Terdapat banyak pusat beli belah, bank, hotel, restauran dan pelbagai lagi perniagaan di kawasan tersebut.

Pembangunan sekarang tertumpu pula di tapak bekas Pasar Kubang Kerian sehingga ke Wakaf Stan apabila muncul banyak bangunan perniagaan di kiri kanan jalan.

Adun Demit, Dato’ Mumtaz Md Nawi berkata, Rancangan Struktur Negeri Kelantan 2040 bakal mengubah wajah bandar Kubang Kerian ekoran pelbagai kemudahan dibina kerajaan dengan kerjasama syarikat swasta.

Katanya, Kubang Kerian akan muncul Bandar Diraja al Muhammadi yang melibatkan projek pembangunan di kawasan seluas 480.12 hektar.

Kata beliau kawasan terbabit meliputi enam Mahallah Diraja iaitu Kenali, Chicha, Pulau, Telok Baru, Demit dan Wakaf Stan.

“Begitu juga pembinaan Arika Kubang Kerian akan menjadikan Kubang Kerian sebagai Bandar Diraja dan Pelancongan Warisan Kebudayaan.

“Ia menawarkan penginapan berkualiti yang dapat memanfaatkan kakitangan dan mahasiswa USM serta menjadi pemangkin ekonomi penduduk,” katanya di sini.

Pada 12 Januari lepas diadakan majlis pecah pembinaan Arika Kubang Kerian yang disempurnakan Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob.

Pangsapuri 39 terbabit akan muncul sebagai bangunan tertinggi di Kelantan. Ia bakal mengandungi 26 unit perniagaan dan 668 unit kediaman pelbagai saiz.

Pangsapuri terbabit dibina Kumpulan Malvest, Troika Kota Bharu dengan usaha sama Sentosa Jaya Development Sdn Bhd di tapak bekas Pasar Lama Kubang Kerian.

Mumtaz yang juga anggota Exco kerajaan negeri berkata, pembinaan bangunan pencakar langit tersebut selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk mewujudkan Bandar Diraja al Muhammadi.

Rajhan Ab Manaf

Sementara itu Penghulu Mukim Kenali, Rajhan Ab Manaf berkata, penduduk tempatan menyambut baik projek pembinaan bangunan tertinggi di Kelantan.

Bagaimanapun beliau berharap pembinaannya selaras dengan dasar kerajaan negeri iaitu Merakyatkan Membangun Bersama Islam.

“Kita tidak mahu anak-anak muda kita bergelut dengan masalah sosial selepas pembangunan pesat melanda Kubang Kerian,” katanya.

Zakaria Mahmood

Penduduk tempatan Zakaria Mahmood, 56 pula berkata, tapak Arika Kubang Kerian sebelum ini dipenuhi semak samun sehingga mengundang kebimbangan penduduk.

Katanya, banyak cerucuk besi yang dipasang pemaju sebelum ini ditinggalkan begitu sahaja sehingga menyebabkan setiap kali hujan air bertakung.

“Sudah lama tapak tersebut terbiar dan dibimbangi menjadi sarang penagihan dadah serta penyebaran penyakit berjangkit.

“Dengan pengumuman kerajaan negeri untuk membangunkan bangunan Arika Kubang Kerian saya gembira, kalau umur panjang dapat lihat sendiri kemajuan dan pembangunan Kubang Kerian,” katanya.

Hamzah Yusuf

Hamzah Yusuf, 56 turut berharap dengan pembinaan Arika Kubang Kerian bakal menceriakan lagi kawasan terbabit yang akan mempunyai pangsapuri paling tinggi di Kelantan.

Menurutnya juga kerajaan perlu mengatasi kesesakan lalu lintas di kawasan berkenaan yang begitu ketara setiap pagi dan petang.

“Sekarang pun banyak kedai-kedai di kiri kanan jalan sehingga berlaku kesesakan lalu lintas, saya yakin kerajaan ada perancangan untuk atasi masalah itu,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/2/23

- Advertisement -