Tan Sri Noh Omar yang saya kenali (akhir)

- Advertisement -

SEMASA kami bersama mendukung MN dahulu, saya melihat Tan Sri Noh punya visi dan misi yang cukup jelas di Selangor. Pakatan Harapan yang didominasi DAP perlu ditumbangkan di Selangor. 

Mereka membawa negeri ini ikut agenda mereka, banyak status quo melibatkan umat Melayu Islam terancam. Pegangan kuat mereka pada gagasan ‘Malaysian Malaysia‘ telah mempengaruhi dan merubah dasar serta keutamaan kerajaan mengikut selera, citarasa mereka.

Bagi Tan Sri hanya kekuatan kuasa politik Melayu Islam yang boleh mencabar dan merubah penguasaan PH. Di Selangor kuasa ini diungguli oleh PAS dan Umno. MN merupakan platform terbaik untuk memupuk dan menjana kekuatan umat Melayu agar bangkit menolak PH. 

Keputusan Pilihan Raya Kecil DUN Semenyih di Selangor adalah contoh terbaik, pemangkin ke arah keupayaan MN menumbangkan PH di negeri ini.

Lantas Tan Sri cukup optimistik dan positif dalam tindakannya. Beliau sentiasa terbuka dan menerima cadangan-cadangan yang dilontarkan oleh PAS Selangor demi memantapkan MN dan memberi kesedaran politik pada umat Melayu di negeri ini.

Bukan lagi rahsia bahawa Umno cukup lemah di Selangor sejak hilang kuasa di peringkat negeri pada tahun 2008 iaitu sekitar 15 tahun. 

Mereka hampir kehilangan semua kerusi DUN dan Parlimen yang sentiasa merosot dari satu PRU ke satu PRU. Terakhir pada PRU14 kekuatan Umno hanya tertumpu di wilayah Utara Selangor apabila mereka cuma menang Parlimen Sabak Bernam dan Tanjung Karang serta 1 DUN masing-masing di Sabak Bernam, Sg Besar, Tg Karang dan Hulu Selangor.

Kemenangan di PRK Semenyih memberi nafas baru buat Umno. Tetapi Tan Sri sedar bahawa Umno menang bukannya atas kekuatan mereka semata-mata akan tetapi atas permuafakatan kerjasama dengan PAS. Gabungan jentera PAS dan Umno Selangor dibantu negeri-negeri lain telah bersama bekerja mencipta kemenangan ini.

Itulah formulanya bagi Tan Sri dan atas keyakinan itu beliau menjelajah setiap ceruk bumi Selangor untuk memastikan Umno Negeri bersedia bekerjasama bagi menebus maruah menang kembali di negeri ini melalui MN.

Saya tahu beliau cukup kecewa apabila pimpinan tertinggi Umno membuat keputusan memutuskan hubungan dengan MN dan masuk solo dalam PRU ke-15 baru-baru ini. Keputusan itu mengakibatkan Umno akan sekali lagi berhadapan PH dan PAS (yang kini atas platform PN) dalam pertandingan tiga penjuru sebagaimana PRU14 dan pasti akan rugi besar.

Sebagai seorang pejuang tulen yang ikhlas dan berwawasan walau di saat akhir beliau masih tidak putus asa dan cuba meyakinkan pimpinannya tetapi usaha beliau dipandang serong dan akhirnya beliau digugurkan dari mempertahankan kerusinya di Tanjong Karang (satu-satu kerusi yang tinggal pada Umno ketika itu). 

Baru-baru ini selepas PRU15  beliau dipecat dari parti kesayangannya. Umno hilang tewas di semua kerusi Parlimen di Selangor termasuk Tanjong Karang dan berdasarkan keputusan PRU15 itu sokongan Umno di peringkat DUN juga merosot.

Tan Sri Noh yang saya kenal telah bersungguh bekerja untuk menghidupkan Umno kembali di Selangor tetapi dipecat begitu sahaja. Segala jasa dan pengorbanan yang beliau taburkan menjadi sia-sia dan tidak dipedulikan pimpinan tertinggi.

Kami dari PAS walaupun berlainan parti, tetapi mengenali peribadinya, tumpang bersimpati atas nasib malang yang menimpa beliau.

Siapapun akan kecewa jika diperlakukan sedemikian. Bersabarlah Tan Sri. Perjuangan untuk memartabatkan agama dan bangsa ini terutama di Selangor perlu diteruskan. 

Saya tahu darah perjuangan yang panas mengalir dalam tubuh Tan Sri tidak akan mengizinkan Tan Sri berdiam-diri. Jika pimpinan tertinggi Umno tidak hargai jasa dan pengorbanan Tan Sri, ramai lagi yang lain selain mereka mengiktirafnya, percayalah.

Kami menunggu langkah Tan Sri seterusnya. Allah S.W.T bersama mereka yang jujur dan ikhlas.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 2/2/2023

- Advertisement -
- Advertisement -