Australia hapuskan monarki British dari wang kertas

Wang kertas $5 Australia sedia ada memaparkan potret Ratu Elizabeth II.
- Advertisement -

CANBERRA: Bank Pusat Australia mengumumkan bahawa wang kertas $5 baharu negara itu akan menampilkan reka bentuk warga peribumi negara itu dan bukan imej Raja Charles III yang hanya digunakan pada wang syiling.

- Advertisement -

Wang kertas $5 ketika ini adalah satu-satunya wang kertas Australia yang masih memaparkan imej monarki British.

Bank itu menyatakan keputusan ini menyusuli perundingan dengan kerajaan yang menyokong perubahan itu. Penentang pula mendakwa langkah itu bermotifkan politik.

Raja British kekal sebagai Ketua Negara Australia walaupun pada hari ini, peranan itu sebahagian besar bersifat simbolik. Seperti kebanyakan bekas jajahan British, Australia sedang membahaskan sejauh mana harus mengekalkan hubungan dari segi Perlembagaan dengan Britain.

Bank Pusat Australia menyatakan wang kertas $5 baharu akan menampilkan reka bentuk yang menggantikan potret Ratu Elizabeth II, yang meninggal dunia tahun lalu. Bank itu berkata, langkah itu akan menghormati “budaya dan sejarah peribumi Australia.”

“Pada bahagian sebelah lagi wang kertas $5 akan terus menampilkan Parlimen Australia,” kata bank itu dalam satu kenyataan.

Menteri Kewangan Australia, Jim Chalmers, berkata perubahan itu adalah peluang untuk mencapai keseimbangan yang baik.

“Monarki masih ada pada syiling, tetapi wang kertas $5 akan menceritakan lebih banyak mengenai sejarah, warisan dan negara kita. Saya melihat itu sebagai perkara yang baik,” katanya kepada wartawan di Melbourne.

Ketua Pembangkang, Peter Dutton, menyamakan langkah itu seperti menukar tarikh Hari Kebangsaan, Hari Australia.

“Saya tahu majoriti senyap tidak bersetuju dengan banyak perkara karut yang berlaku, tetapi kita perlu mendengar lebih banyak pandangan orang dalam talian,” katanya yang mendakwa Perdana Menteri, Anthony Albanese, sebagai bertanggungjawab terhadap keputusan raja tiada lagi dalam wang kertas itu.

Bank Pusat Australia akan berunding dengan kumpulan peribumi dalam reka bentuk wang kertas $5, proses yang dijangka akan mengambil masa beberapa tahun sebelum wang baharu itu berada pada tangan orang ramai.

Wang kertas $5 sedia ada akan terus dikeluarkan sehingga reka bentuk baharu diperkenalkan dan kekal sah walaupun selepas wang kertas baharu diedarkan.

Wajah Raja Charles III dijangka dapat dilihat pada syiling Australia akhir tahun ini. Satu Dolar Australia bernilai kira-kira 71 sen dalam mata wang Amerika Syarikat. – AP

- Advertisement -