Pemimpin dunia Islam perlu bersatu bantah ahli politik ekstrem

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan dicadang mewujudkan ruang perbincangan antara pemimpin dunia Islam untuk membantah secara bersama perbuatan ahli politik ekstrem Denmark-Sweden, Rasmus Paludan yang membakar Al-Quran di Stockholm, Sabtu lalu.

Mantan Profesor Pengajian Asia Barat Moden Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Kamaruzaman Yusoff berkata, perbincangan itu perlu mengumpulkan pemimpin Islam tanpa mengira latar belakang politik mereka.

- Advertisement -

“Tidak kira daripada PAS, Bersatu, atau Amanah, malah daripada DAP pun sama kerana mereka berada setanding, setaraf dan sekedudukan dengan pemerintah negara pada masa ini.

“Kita juga tidak mahu masing-masing hanya bercakap, beri pandangan dan pendapat apabila Islamofobia berlaku di luar negara.

“Tetapi apabila berlaku dalam negara, warnanya telah bertukar dan pandangannya telah berbeza dan membiarkan kecamukan ini bersimpang-siur dalam konteks politik, sedangkan perkara yang sama berlaku di luar,” katanya dalam Bual Bicara 360: Bakar Quran, Bakar Hati Umat Islam, semalam.

Sementara itu, beliau juga berharap masyarakat dapat menonjolkan sifat teguh dalam menyatakan bantahan terhadap insiden Islamofobia ini.

Katanya, sifat berkenaan akan memberi hasil yang baik apabila Malaysia akhirnya dapat membentuk masyarakat yang bersatu padu tanpa mengira kaum, keturunan dan parti politik memandangkan pilihan raya umum telah pun berlalu. – HARAKAHDAILY 27/1/2023

- Advertisement -