Masyarakat majmuk hidup suasana harmoni

- Advertisement -

SANDAKAN: Walaupun masyarakat di Malaysia berbeza bangsa dan agama namun masih mampu hidup dalam harmoni sejak dahulu sehingga sekarang.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Sahar Abdul Majid, berkata situasi itu merupakan keunikan yang menggambarkan kebersamaan rakyat di negara ini yang mempunyai pelbagai bangsa dan budaya.

- Advertisement -

“Masing-masing ada budaya tersendiri yang boleh dirangkum bersama untuk menjadi masyarakat yang bersatu padu dan harmoni, tanpa ada persengketaan mahu pun salah faham.

“Saya percaya, ini adalah sebahagian daripada bunga-bunga keharmonian, perpaduan hasil daripada silaturahim pelbagai bangsa dan agama di negeri ini,” katanya ketika program Sambutan Tahun Baru Cina PAS Sabah bersama persatuan-persatuan Cina di sini, semalam.

Sahar berkata, masyarakat Cina percaya tahun arnab dikaitkan dengan menghasilkan kekayaan dan keuntungan yang besar dalam semua aspek kehidupan termasuk perniagaan.

“Malah yang paling penting ialah semoga bukan sahaja kita bahagia, tetapi dengan kehadiran semua dalam majlis ini menjadi lambang kebersamaan kita,” ujarnya yang juga Yang Dipertua PAS Sandakan.

Beliau berkata, program seumpama itu merupakan titik permulaan bagi merancang pelbagai program supaya hubungan masyarakat Melayu dengan Tionghua sentiasa terjalin.

Malah, katanya kehadiran masyarakat Tionghua pada majlis tersebut dapat merapatkan hubungan yang sedia terjalin.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Stevedor Pelabuhan Sandakan, Chan Hing Wai merakam ucapan terima kasih kepada PAS di atas penganjuran program tersebut. – HARAKAHDAILY 22/1/23

- Advertisement -