Hoki Piala Dunia 2023: Malaysia tenang, yakin hadapi Sepanyol

Pasukan hoki negara beraksi cemerlang ketika menentang New Zealand
- Advertisement -

Pemain Malaysia perlu bertenang, tetapi yakin untuk menghadapi Sepanyol dalam perlawanan penentuan merebut slot ke suku akhir Piala Dunia 2023 di Bhubaneswar, India, Ahad ini.

Bagi jurulatih negara, Arul Selvaraj, keutamaan sekarang ialah anak buahnya bertenang dan yakin hasil dua kemenangan yang menyaksikan skuad negara menduduki tempat kedua Kumpulan C.

- Advertisement -

“Ini adalah kemenangan kedua kami dan apa yang kami mahu capai dalam setiap perlawanan peringkat kumpulan, semuanya berjalan seperti dirancang. Kemenangan ini adalah apa yang kami perlukan untuk memberikan rangsangan dan meningkatkan keyakinan pemain.

“Menentang New Zealand, pemain sangat tenang dan sabar, tetapi sangat yakin. Beginilah cara kami mendapat dua gol awal, tetapi pada suku ketiga dan keempat, kami kekurangan pemain kerana penggantungan dan ini membolehkan New Zealand mendapat semula rentak permainan,” kata Arul.

Malaysia mengejutkan New Zealand 3-2 dalam perlawanan terakhir kumpulan semalam yang cukup sengit apabila skuad Kiwi bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk menyamakan kedudukan sebelum Faizal Saari memastikan kemenangan dramatik pada akhir permainan.

Namun Arul menegaskan bahawa pemain mempunyai keyakinan dan kepercayaan hingga berjaya mendapatkan gol kemenangan.

Secara keseluruhan, beliau gembira apabila pemain berjaya menukar pukulan sudut penalti kerana itu yang dilakukan ketika latihan dan akan terus berusaha untuk memastikan dapat dilakukan dalam perlawanan akan datang.

Aksi pemain Malaysia ketika menentang New Zealand di Stadium Hoki Kalinga – MHC

Arul memuji prestasi barisan pertahanan diketuai oleh kapten pasukan, Muhammad Marhan Mohd Jalil bersama Muhammad Razie Abd Rahim dan penjaga gol, Muhammad Hafizuddin Othman, kerana berdisiplin sepanjang perlawanan, terutama ketika tanpa bola.

“Marhan sebagai kapten dan teraju di bahagian belakang menghasilkan persembahan yang memberikannya anugerah Pemain Terbaik Perlawanan. Jadi kami berharap prestasi ini berterusan,” katanya.

Malaysia akan berdepan Sepanyol yang menduduki tempat ketiga Kumpulan D bagi mendapatkan tempat di suku akhir buat kali pertama sejak 2002.

“Fokus kami sekarang adalah pemulihan. Saya tidak mahu pemain terlalu memikirkan perlawanan seterusnya. Kami akan bercuti esok (hari ini) supaya pemain dapat berehat dan merenung sejenak pertandingan dan menenangkan diri.

“Kami akan mengadakan perbincangan pada malam untuk mengkaji perlawanan terakhir dan perlawanan seterusnya menentang Sepanyol. Kami akan mengadakan satu sesi latihan esok untuk menyediakan taktikal menghadapi perlawanan itu,” kata Arul. – MHC

- Advertisement -