Aliakbar sokong usaha angkat martabat rakyat Sabah

Dr Aliakbar Gulasan
- Advertisement -

LAHAD DATU: “Saya tetap menyokong dan mendukung sebarang usaha mengembalikan dan mengangkat martabat rakyat dan negeri Sabah,” kata Adun (Lantikan) Sabah, Dr Aliakbar Gulasan.

- Advertisement -

Menurutnya, ia bukan soal parti tetapi hak pembangunan Sabah dan mengharapkan semoga akan terus maju dan membangun.

“Gunakan sebaiknya hak yang kita ada. Uruskan dengan penuh integriti dan elakkan sebarang salah guna kuasa,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau, semalam.

Beliau yang juga Setiausaha PAS negeri turut menegaskan, rakyat tetap akan menjadi hakim sebenar.

Pada 10 Januari lalu, dua rang undang-undang (RUU) berkaitan MA63 telah diluluskan ketika sidang DUN Khas Negeri Sabah yang dibentangkan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor iaitu RUU Suruhanjaya Tenaga Sabah 2023 dan RUU Bekalan Gas 2023.

RUU Suruhanjaya Tenaga Sabah 2023 bertujuan agar segala aktiviti sektor pembekalan gas yang dijalankan dapat dikawal dan dilaksanakan secara efektif dan efisien.

RUU Bekalan Gas 2023 pula bertujuan mengambil alih kuasa kawal selia bekalan gas di Sabah kepada kerajaan negeri.

Hanya 44 Adun termasuk Dr Aliakbar yang telah bersetuju bagi memperjuangkan hak Sabah. – HARAKAHDAILY 18/1/2023

- Advertisement -