Semangat dan lambang juang Dato’ Maharaja Lela

- Advertisement -

TELUK INTAN: Nama Dato’ Maharaja Lela adalah satu gelaran yang cukup tidak asing dalam lembaran sejarah negeri Perak yang mana ia bukanlah nama individu semata-mata, tetapi satu gelaran menunjukkan kuasanya.

- Advertisement -

Semangat juangnya mempertahankan tanah air dan memimpin penduduk tempatan terhadap penjajahan luar menjadi asbab nama beliau dipahat pada gelanggang baharu Pertubuhan Seni Gayung Bersatu (PSGB).

Pengerusi Gelanggang Dato’ Maharaja Lela, Nurhafizul Badrul Hisham berkata demikian dalam ucapan aluannya semasa Hari Terbuka Gelanggang Dato Maharaja Lela di KOMPASTI, Padang Tembak, baru-baru ini.

Menurutnya, nama gelanggang itu diletakkan setelah berjumpa dengan ulama negeri Perak, Tuan Guru Sidek Noor yang cadangan nama tersebut bersempena mengingati pejuang Islam tanah air.

“Almarhum ini bukan sahaja seorang pesilat, malah merupakan seorang Sohibus Samahah, gelaran bagi seorang mufti untuk negeri Perak. Ini menggambarkan, almarhum adalah seorang pesilat yang berilmu, beriman dan bertakwa,” jelasnya.

Tegasnya, almarhum adalah seorang pesilat dalam masa sama juga seorang ulama yang berjuang memimpin orang-orang Melayu Islam menentang penjajah di Pasir Salak dan Durian Sebatang pernah menjadi tempat mereka bermesyuarat.

Maka atas simbolik itu menjadi pemangkin harapan kepada penubuhan gelanggang Dato’ Maharaja Lela.

“Kita mengharapkan dengan adanya gelanggang ini, anak-anak gayong yang akan berlatih nanti bukan sahaja belajar gerak geri mempertahankan diri persilatan, tetapi juga untuk membina jati diri dalam diri masing-masing dan menjaga amanah dengan Allah S.W.T.

“Selain pandai bersilat gayong, jaga solat, jaga hubungan dengan ibu bapa, jaga hubungan dengan Allah S.W.T, tutup aurat baik-baik, kerana ini lah yang kita mahu lahirkan.

“Seterusnya menjadi orang yang berjuang menegakkan Islam untuk manfaat umat dan negara di masa hadapan nanti,” tambahnya lagi. – HARAKAHDAILY 16/1/2023

- Advertisement -