Lawatan kukuhkan hubungan PAS dan Jamaat Islami Pakistan

- Advertisement -

PADA 9 dan 10 Januari lalu, saya berpeluang bermusafir ke Pakistan bersama YB Ustaz Shahril Azman Abdul Hamid, ADUN Jengka, Pahang kerana dijemput untuk menghadiri serta menyampaikan ucapan di Seminar Antarabangsa Imam Al-Maududi bersempena sambutan 75 tahun Jamaat Islami Pakistan.

- Advertisement -

Di seminar tersebut, ucapan saya menyentuh tentang peranan al-Maududi dalam memberi kesedaran kepada umat Islam tentang kefahaman Islam yang syumul khususnya tentang politik Islam. Al-Maududi terkenal melalui pemikirannya yang sederhana yang diterjemahkan dalam penulisannya yang banyak diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa khususnya bahasa Arab dan Inggeris.

Antara pendekatannya ialah menggunakan dalil aqli khususnya kitab tafsirnya yang terkenal iaitu Tafhim Al-Quran yang sebaris dengan Fi Zilal al-Quran karangan al-Syahid Syed Qutb.

Sayyid Abu A’la Maududi adalah pengasas dan pemimpin pertama Jamaat Islami Pakistan. Beliau adalah ulama, ahli falsafah, sejarawan, wartawan dan aktivis yang terulung ketika zaman penjajahan British di India serta digelar sebagai tokoh pemikir Islam moden yang paling sistematik oleh Wilfred Cantwell Smith, pengasas Institut Pengajian Islam Universiti Mcgill, Kanada yang juga Pengarah Pusat Pengajian Agama Dunia, Universiti Harvard, Amerika Syarikat.

Beliau memainkan peranan besar dalam pemerkasaan Islam ketika Jeneral Muhammad Zia ul-Haq menjadi Perdana Menteri Pakistan dengan memperkenalkan syariat Islam dalam pentadbiran Pakistan dan beliau bersama-sama Jeneral Muhammad Zia ul-Haq menjadikan Pakistan ketika itu sebagai “global center“ kepada politik Islam.

Sayyid Abu A’la Maududi adalah penerima pertama “King Faisal International Award“ daripada Kerajaan Arab Saudi pada 1979 di atas jasa beliau terhadap Islam dan memainkan peranan penting dalam penubuhan serta perjalanan Universiti Islam Madinah, Arab Saudi. Beliau diiktiraf dan disanjungi oleh banyak pertubuhan dan organisasi Islam antaranya Jamaat e-Islami, Ikhwanul Muslimin, Hamas, Pertubuhan Islam Amerika Utara dan banyak lagi.

Sayyid Abu A’la Maududi meninggal dunia pada 22 September 1979 di Buffalo, New York, Amerika Syarikat. Jasa beliau amat besar kepada umat Islam terutamanya berkaitan politik Islam, serta memainkan peranan besar dalam politik Pakistan ketika hayatnya.

Seterusnya, saya berpeluang bertemu dengan Maulana Sirajul Alhaq, Amir Jamaat Islami Pakistan dan pemimpin-pemimpin Jamaat Islami Pakistan di Mansoorah, Lahore, Pakistan. Peluang yang amat berharga ini disulami dengan dialog dan bertukar pandangan terutamanya mengenai perihal Dunia Islam ketika ini.

Dalam masa yang sama, saya turut menyampaikan sumbangan dan bantuan untuk mangsa banjir besar yang melanda Pakistan hujung tahun lalu daripada NGO PAS Relief yang disampaikan kepada KHIDMAT, sebuah NGO di bawah Jamaat Islami Pakistan dengan harapan sedikit sebanyak dapat membantu warga Pakistan yang ketika ini sedang berhadapan dengan situasi yang amat mencabar.

Peluang untuk membantu dan menderma masih terbuka, justeru saya menyeru warga Malaysia agar kita sama-sama dapat membantu Pakistan dan warganya yang ketika ini sedang berada dalam yang amat sukar dalam mengharungi kehidupan seharian. Samada banyak atau sedikit, ia sekurang-kurangnya dapat membantu meringankan beban yang sedang ditanggung oleh mereka ketika ini.

Insya-Allah NGO PAS Relief akan menerajui usaha murni ini dan anda boleh menyalurkan sumbangan anda kepada NGO PAS Relief. Sama-samalah kita membantu Pakistan dan warganya agar mereka mampu mengharungi situasi yang mencabar ketika ini dan seterusnya bangkit kembali membina kehidupan mereka sebagaimana sedia kala.

Semoga Pakistan dan warganya tabah dan cekal mengharungi dugaan dan cabaran seterusnya dilindungi dan dirahmati oleh Allah SWT.

Malaysia Sejahtera

YB DR. MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat
ADUN Batu Buruk – HARAKAHDAILY 15/1/2023

- Advertisement -