YIK rancang buka sekolah aliran tahfiz vokasional

- Advertisement -

KOTA BHARU: Yayasan Islam Kelantan (YIK) merancang membuka sekolah aliran tahfiz vokasional bagi menyediakan pelajar kemahiran tertentu sebagai persediaaan memasuki alam pekerjaan.

- Advertisement -

Pengarahnya Engku Rajhan Engku Ismail berkata, tahfiz vokasional dirancang dengan mengambil kira peluang pekerjaan lebih luas bagi pelajar yang ada kemahiran bidang tertentu.

Katanya, perkara itu dibincang di peringkat jawatankuasa perkhidmatan pendidikan negeri.

Kata beliau bukan semua pelajar yang dilahir sekolah YIK berminat hendak menjadi guru agama selepas menamatkan pengajian kelak.

“Sebaliknya sebahagian mereka berminat mempunyai kemahiran bidang tertentu sebagai langkah mencipta kerjaya mereka sendiri.

“Atas dasar itulah kita memikirkan perlu ada maahad tahfiz berasaskan vokasional. Sebenarnya kita sudah ada perancangan membinanya di lokasi tertentu,” katanya di sini.

Menurutnya juga sebelum ini Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) menawarkan sebidang tanah yang sedia ada bangunan di sempadan Tanah Merah-Pasir Mas.

Kata beliau secara dasar YIK setuju dengan tawaran tersebut bagi mewujudkan maahad tahfiz vokasional.

“Saya menjangka paling awal pun kurang-kurangnya beri masa setahun. Tempoh setahun sesuai untuk kita merangka pelan pembangunannya.

“Kita merangka cadangan tersebut pada akhir tahun lepas. Pada jangkaan mungkin seawal 2024 kita boleh laksanakan pengambilan pelajar pertama di sekolah terbabit,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 12/1/2023

- Advertisement -