Bekas pensyarah dilantik Setpol MB Perlis

- Advertisement -

KANGAR: Bekas pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Abdul Hadi Ismail, 40, dilantik sebagai Setiausaha Politik (Setpol) Menteri Besar (MB) Perlis.

- Advertisement -

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Eksekutif Sumber Manusia di Petronas dan wakil Wilayah Malaysia Timber Council (MTC) di Arab Saudi dan Afrika.

Abdul Hadi dilahirkan di Mesir kemudian merantau dari satu negeri ke satu negeri lain. Sebahagian besar kehidupannya dicurahkan di Terengganu.

“Saya dilahirkan di Mesir, ayah asal dari Sanglang, Kedah dan arwah ibu pula dari Muar, Johor,” katanya ketika ditemui selepas mengangkat sumpah sebagai Setpol di hadapan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli hari ini.

Beliau antara generasi pertama pelajar Maahad Darul Quran, Rusila, Marang yang dihantar PAS Terengganu melanjut pelajaran di United Kingdom.

Beliau mendapat Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam di Universiti of Wales Lampeter. Kemudian menyambung pengajian Ijazah Sarjana di Akademik Pengajian Islam Universiti Malaya (UM).

Abdul Hadi juga berkata, bukan pilihannya untuk berkhidmat di Perlis, namun terpaksa akur selepas beberapa kali dihubungi Menteri Besar.

“Menerima jawatan ini bukan sesuatu yang dipinta tetapi terpaksa menerima setelah melalui beberapa perbincangan demi kesinambungan perjuangan.

“Tetapi akhirnya terpaksa terima dengan hati terbuka memegang amanah ini,” katanya ketika ditemui.

Menurutnya juga Menteri Besar Perlis merupakan antara anak usrah ayahnya, Ustaz Ismail Osman ketika berkhidmat sebagai guru di Sarawak. – HARAKAHDAILY 12/1/2023

- Advertisement -