Tengok pun mabuk: Teng ‘sahkan’ arak sangat bahaya

- Advertisement -

SELAMA ini saya dan mungkin ramai orang lain juga tahu, bahawa dalam kalangan peminum arak atau alkohol itu ada mereka yang sudah mabuk sebelum meneguknya lagi. Tetapi terkini baharu saya tahu, rupanya ada yang mabuk dengan hanya melihat botol atau promosi iklan arak.

- Advertisement -

Itulah yang diberitahu oleh Exco Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Teng Chang Khim kepada Ahli Parlimen Permatang Pauh, Ustaz Muhammad Fawwaz Md Jan. Terima kasih atas makluman tersebut yang sebenarnya mengesahkan betapa arak adalah memudaratkan dan mengundang bahaya.

Walaupun itu merupakan sindiran Teng kepada Fawwaz, tetapi setidak-tidaknya, Fawwaz masih bertindak rasional, matang dan berhikmah di sebalik sinikal Teng yang ustaz muda itu ‘mabuk’. Tetapi Teng yang mungkin sebenarnya mabuk, kerana beremosi melulu dan bersikap dangkal.

Ustaz Fawwaz hadir mewakili penduduk terutama majoriti Muslim supaya promosi dan jualan arak yang diadakan di Sunway Carnival Mall itu tidak diadakan secara terbuka dan dipromosikan secara besar-besaran. Beliau bertemu secara tertutup dengan pihak pengurusan pusat perniagaan tersebut.

Ia berlangsung secara perbincangan, permintaan dan nasihat secara aman damai dan harmoni serta saling menghormati tanpa ada sebarang unsur tekanan atau radikal. Tiba-tiba ada pihak terutama pimpinan-pimpinan DAP yang menggelegak kepanasan mengecam tindakan Ustaz Fawwaz.

Saya tidak pelik, bahkan saya penuh yakin betapa rakyat Malaysia cukup mengingati bahawa setiap kali timbulnya isu berkaitan arak, maka DAP akan sentiasa berada di barisan paling hadapan membela. Maka adakah tak keterlaluan untuk dikatakan majoriti DAP itu peminum arak dan selalu dalam keadaan mabuk?

Sebab itu saya katakan Dato’ Teng mabuk bila menyindir Ustaz Fawwaz mabuk dengan hanya melihat arak. Kerana dengan pengalaman politik dan pentadbiran serta latar belakang profesion beliau, Dato’ Teng sepatutnya lebih memahami ‘Malaysiafobia’ seperti diungkapkan veteran DAP, Lim Kit Siang.

Beliau yang sudah lebih 30 tahun dalam politik dan pernah menerajui portfolio Kerajaan Tempatan serta berada dalam realiti majoriti rakyat negara ini merupakan Muslim, sepatutnya waras terhadap penyeliaan berkaitan arak. Tetapi Dato’ Teng ‘mabuk’ sebab beliau merupakan politikus DAP.

DAP memperjuangkan arak seolah-olah ia minuman asasi, bahkan sebenarnya merekalah bersikap melampau atau ekstrem kerana sering mengheret perkara berkaitan arak ini menjadi isu perkauman dan agama. Seolah-olah Muslim bersikap prejudis, menindas dan mendiskriminasikan kaum lain.

Walhal yang diminta adalah sikap menghormati sensitiviti dengan mengawal cara penjualan atau promosi kerana ia bukan minuman biasa dan jumlah peminum bukan majoriti rakyat. Ia bukan mabuk yang baharu bagi pemimpin-pemimpin DAP, bahkan sebelum ini mabuk mempertahankan pesta arak.

Oktoberfest yang berasal dari Bavaria, Jerman begitu beria-ia mahu disambut di negara ini. Apa kena mengena pesta arak bangsa Jerman itu dengan penduduk negara ini, sedangkan komuniti mereka yang tinggal atau bekerja di negara ini tersangat sedikit? Tetapi DAP sengaja menjadikan ia satu provokasi.

Sedangkan majoriti negara Eropah tidakpun meraikan Oktoberfest. Bukan kerana mereka ada ‘sentimen perkauman’ kepada bangsa Jerman, tetapi kerana kesedaran terhadap bahaya arak. Hinggakan di sesetengah negara Eropah, jualan arak dilarang sama sekali selepas waktu malam.

Kelantan dan beberapa negeri lain yang mengawal jualan arak perlu dijadikan contoh betapa sama sekali tidak wujud sekatan kepada bukan-Muslim. Cuma wujud ialah kawalan, iaitu terhad dalam kuantiti berdasarkan keperluan dan di premis yang dilesenkan secara terhad sahaja, selain dilarang keras dijual kepada Muslim.

Oleh itu adalah satu pembohongan jika mendakwa bukan-Muslim disekat atau dilarang meminum arak, atau dinafikan hak atau kehendak bagi aktiviti atau acara kaum mereka. Pun demikian jika diambil kata Dato’ Teng bahawa melihat arak sudah boleh memabukkan, saya kira apa-apa iklannya juga mestilah ditiadakan.

Dato’ kata jika dengan tengok arak itu jadi mabuk, ia masalah orang tersebut, bukan masalah arak. Tapi jika orang minum arak itu mabuk, maka tentulah orang itu bermasalah dan arak itu juga masalahnya. Maka logik juga jualan atau promosinya adalah satu masalah yang mestilah ditangani sama.

Untuk makluman Dato’ Teng Chang Khim juga, orang Islam yang menjaga sembahyang atau solatnya, mereka itu beriman untuk menjauhi arak. Sebab itu untuk mencegah mabuk, Ustaz Fawwaz dan kebanyakan Muslim mahu mengelak arak atau promosi iklannya dilihat terbuka. Hanya yang mensia-siakan solat tidak kisah isu arak.

NAZMAN CHE IBERAHIM
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 12/1/2023

- Advertisement -