Kementerian belum keluar SOP penerokaan REE

- Advertisement -

ALOR SETAR: Kelewatan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim mengeluarkan SOP penerokaan Rare Element Earth (REE) menyebabkan kerugian kepada negeri yang berminat meneroka secara sah.

- Advertisement -

Menteri Besar Kedah Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pasaran mineral tersebut semakin tinggi.

Selain itu katanya kerajaan dapat mengelak berlaku kecurian dan bahan galian terbabit dibawa keluar secara salah.

“Kedah terpaksa memulakan aktiviti itu mengikut bidang kuasa negeri memandangkan prosedur operasi standard terbabit gagal dikemukakan kementerian terbabit sehingga kini.

“Begitu juga perbincangan dengan Majlis Tanah Negara telah diadakan sebelum ini, namun sehingga kini SOP penerokaan REE belum dikeluarkan,” katanya ketika berucap pada majlis Memorandum Persefaham (MoU) di Wisma Darul Aman, hari ini.

MoU tersebut antara Menteri Besar Kedah Incorporated (MBI Kedah), Jangka Bakat Minerals Sdn Bhd dan Xiamen Tungsten Co Ltd.

Ia melibatkan perjanjian penerokaan REE melalui perkongsian pengalaman, maklumat dan kepakaran dalam bidang yang masih dianggap baharu di Malaysia.

Sanusi juga berkata, Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Perhutanan diarah melakukan proses pemantauan bagi memastikan aktiviti itu dibuat mengikut undang-undang.

Menurutnya jabatan berkenaan perlu membuat penilaian dari semasa ke semasa bagi memastikan industri itu tidak menyebabkan kerugian.

Kedah dianggar mempunyai aset nadir bumi terbabit bernilai RM60 bilion di Sik dan Ulu Muda. Perlombongannya akan dilakukan tanpa menebang pokok sehingga menjejaskan alam sekitar.

“Kedah berharap dapat memaksimumkan pendapatan melalui aktiviti ini dan industri hiliran dapat dibangunkan pada masa hadapan,” tambah beliau. – HARAKAHDAILY 10/1/2023

- Advertisement -