Bukit Kulim FC muncul juara Piala Tok Guru

- Advertisement -

MARANG: Pasukan Bukit Kulim FC muncul juara Liga Bola Sepak Piala Tok Guru setelah menewaskan Belukar Sukai FC 2-1 pada perlawanan akhir di padang Majlis Daerah Marang, kelmarin.

- Advertisement -

Bukit Kulim FC adalah wakil bagi DUN Pengkalan Berangan sementara Belukar Sukai FC mewakili DUN Alur Limbat.

Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyaksikan perlawanan akhir itu yang menyampaikan hadiah kepada para pemain.

Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri yang juga Adun Alur Limbat, Ustaz Ariffin Deraman, Adun Pengkalan Berangan, Ustaz Sulaiman Sulong dan Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Harun Esa.

Sementara itu, Tuan Guru dalam hantaran di Facebook beliau semalam berkata, anak muda harus dilatih fizikalnya bagi menjadikan mereka ini sihat dan kuat bagi menghadapi cabaran yang bakal mendatang.

Menurut beliau, antaranya dengan menggalakkan permainan sukan sebagai satu cara melatih dan menguatkan fizikal.

Katanya lagi, Rasulullah SAW juga mengarahkan agar golongan muda digalakkan untuk bersukan bagi menguatkan jasad bukan semata-mata rohnya sahaja.

Jelasnya, Khalifah ‘Umar bin al-Khattab RA pernah berkata:  عَلِّمُوا أَوْلَادَكُمُ السِّبَاحَةَ، وَالرِّمَايَةَ yang bermaksud, “Ajarlah anak-anak kamu sukan memanah dan berenang”.

“Atas dasar tersebut DACS Pemuda PAS Kawasan Marang menganjurkan perlawanan akhir bola sepak Piala Tok Guru yang berlangsung di padang bola Majlis Daerah Marang,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 10/1/2023

- Advertisement -