Pelaku poligami perosak kebahagiaan isteri pertama?

- Advertisement -

Poligami merupakan salah satu bentuk perkahwinan yang telah diamalkan sejak dari zaman sebelum kedatangan Islam. 

- Advertisement -

Sebagai contohnya, kisah yang masyhur adalah berdasarkan kepada peristiwa Nabi Ibrahim A.S yang telah mengahwini Sarah, sebelum berkahwin pula dengan Hajar yang merupakan pembantu Sarah.

Amalan ini terus diterima dalam syariat Islam yang diturunkan kepada umat Nabi Muhammad S.A.W, namun poligami hanya dibenarkan setakat empat orang isteri sahaja.

Namun, amalan poligami seringkali menjadi polemik dalam masyarakat Islam. Biasanya polemik akan timbul apabila ada nama-nama terkenal seperti golongan selebriti atau artis berkahwin lebih daripada satu, khususnya dengan wanita yang kemudian menjadi isteri keduanya.

Apa yang seringkali berlaku ialah pelaku poligami dianggap sebagai perampas dan perosak kebahagiaan isteri pertama. 

Hal ini berbangkit ekoran persepsi negatif masyarakat terhadap poligami. Ia berikutan pengalaman tragik dan traumatik pihak-pihak yang telah melalui fasa poligami dalam rumahtangga, lantas turut menimbulkan rasa empati terhadap wanita yang dimadukan.

Sedangkan keharusan amalan poligami ini disebut dengan jelas dalam al-Quran, walaupun kitab suci agama Islam itu menegaskan bahawa amalan monogami lebih baik sekiranya tidak mampu berlaku adil. 

Di samping itu, amalan poligami juga termasuk dalam Sunnah yang dilakukan oleh Nabi Muhammad S.A.W. Baginda mengamalkan poligami setelah kewafatan Sayyidatina Khadijah.

Namun begitu, amalan poligami Rasulullah menjadi salah satu subjek ‘serangan’ terhadap kewibawaannya . Ada pihak yang mendakwa Rasulullah  hanya menurut hawa nafsu, selain tidak berlaku adil dalam perkahwinan bersama isteri-isterinya. 

Tohmahan jahat ini tidak lain adalah bertujuan untuk merendah-rendahkan kredibiliti Nabi Muhammad S.A.W dan bertentangan dengan konsep ‘ismah (maksum) Rasulullah.

Dalam tohmahan Nabi tidak berlaku adil, mereka cuba mengaitkan dengan ayat al-Quran. Dalam surah al-Nisa’, ayat 129, Allah S.W.T berfirman yang bermaksud: “Dan kamu sekali-kali tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu, walaupun kamu bersungguh-sungguh berbuat demikian, kerana itu janganlah kamu terlalu cenderung (berat sebelah kepada yang kamu cintai), sehingga kamu biarkan yang lain terkontang-kanting. Dan jika kamu memperbaiki (keadaan pincang itu) dan memelihara diri (daripada perbuatan yang zalim), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”

Ayat al-Qur’an di atas menjelaskan tentang keadilan mutlak yang sempurna dalam kalangan isteri-isteri, adalah sukar untuk dicapai persamaan di antara mereka. 

Ini kerana hinggakan kecenderungan dalam hati serta keinginan syahwat dan seks berbeza antara suami dan para isteri. 

Soal hati dan perasaan

Menurut ‘Abd al-Wahhab Khallaf dalam kitab Ahkam Ahwal al-Syaksiyyah fi al-Syari‘ah al-Islamiyyah dan Yusuf al-Qaradawi dalam kitab Markaz al-Mar’ah fi al-Hayat al-Islamiyyah, persoalan hati atau perasaan dalaman yang tidak mampu berlaku adil ini adalah dimaafkan oleh Allah SWT, kerana Allah tidak mengambilkira ketidakmampuan manusia dan ketidakupayaan manusia padanya. 

Masalah hati yang bersifat batin adalah di luar kemampuan manusia kerana ia tidak dapat dilihat oleh mata zahir, berbanding masalah nafkah dan penggiliran bermalam yang dapat dinilai secara jelas. 

Justeru, sekiranya seorang suami lebih menyayangi salah seorang isterinya daripada isteri-isteri yang lain, ia adalah suatu yang biasa dan dapat diterima berbanding ketidakadilan suami dalam isu nafkah, layanan dan penggiliran yang jelas ia adalah sesuatu yang zalim.

Apa yang sebenarnya, Rasulullah S.A.W telah bersikap adil terhadap  isteri-isterinya, sama ada dalam urusan nafkah mahupun dalam penggiliran untuk bersama.

Aisyah, isteri Rasulullah menyatakan: “Rasulullah S.A.W telah membahagikan masa dan memberikan layanan secara adil terhadap para isteri Baginda. Baginda akan berdoa: Ya Allah, inilah yang aku lakukan mengikut kemampuan aku, janganlah Engkau mempertanggungjawabkan kepada aku tentang sesuatu yang berada dalam milikan Engkau (yakni hati Rasulullah S.A.W), dan tidak berada dalam pemilikan aku.” (Hadis Riwayat al-Tirmizi, no. hadis: 1140).

Berdasarkan hadis di atas, tohmahan yang dibuat oleh musuh Islam adalah tersasar kerana Rasulullah menunjukkan contoh yang baik dan berlaku adil terhadap para isterinnya dari aspek layanan, nafkah serta penggiliran untuk bersama.

Hakikatnya rasa cinta dan sayang terhadap seseorang pasti akan ada yang lebih dan kurang. Kelebihan dan kekurangan ini hadir dari hati manusia berdasarkan kecenderungan tertentu di samping faktor penarik dan penolak yang dimiliki pasangan. 

Namun, ia bukanlah menjadi sebab yang mendorong kepada perlakuan tidak adil, kezaliman, pengabaian dan layanan berat sebelah di antara para isteri.

Dalam konteks kehidupan poligami, keadilan bukanlah merujuk kepada persamaan hak di antara para isteri tetapi suami tidak boleh bersikap zalim, bahkan beliau perlu meletakkan sesuatu yang sesuai dengan tempatnya. 

Umpamanya, dari segi nafkah zahir, isteri yang mempunyai anak yang ramai pasti mendapat perbelanjaan yang lebih berbanding isteri yang mempunyai anak yang sedikit atau tiada anak. 

Sementara dari segi tempoh penggiliran atau bermalam, suami boleh berbincang dengan para isteri untuk menentukan masa dan hari penggiliran yang dipersetujui bersama.

Ini jelas bermakna bahawa kontrak perkahwinan bukan bererti pemindahan pemilikan fizikal atau jasad seseorang. 

Suami dan isteri masih mempunyai hak pemilikan terhadap jasad masing-masing dan mereka memiliki hak istimta’ bersama sahaja. Ia bukanlah sebuah dominasi dan pemilikan yang bersifat mutlak.

Justeru, perkongsian alam rumahtangga ini perlu dilakukan secara adil tanpa mengenepikan pihak yang berhak agar keadilan dapat ditegakkan di samping ekosistem rumahtangga berada dalam keadaan sakinah, mawaddah dan rahmah.

PROF MADYA DR MOHD ANUAR RAMLI
Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya – HARAKAHDAILY 10/1/2023

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!