5 Adun BN sokong Hajiji, desak Bung letak jawatan

Datuk Seri Hajiji Noor
- Advertisement -

KOTA KINABALU:  Lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Barisan Nasional (BN) Sabah hari ini mengisytiharkan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah.

- Advertisement -

ADUN itu ialah Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Shahelmey Yahya (Tanjung Keramat), Pembantu Menteri Kewangan negeri Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit), Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan negeri Datuk James Ratib (Sugut), Datuk Dr Yusof Yacob (Sindumin) dan Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk).

Mereka dalam kenyataan bersama hari ini berkata kini bukan masanya merebut kuasa politik, sebaliknya masa untuk bersatu supaya kerajaan negeri dan semua pihak dapat terus menumpukan masa, tenaga dan sumber bagi memulih dan memajukan ekonomi negeri serta meningkatkan taraf hidup rakyat.

Justeru, mereka mengecam sekeras-kerasnya keputusan BN Sabah menarik sokongan kepada kerajaan negeri dan mendesak supaya Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin meletak jawatan kerana tindakan tersebut mencemarkan nama baik parti.

“Kami melahirkan rasa terkilan dan kesal kerana Sabah dan rakyatnya sekali lagi diheret ke dalam krisis politik oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” menurut kenyataan itu.

Menurut lima ADUN berkenaan seperti mana aspirasi rakyat Sabah, mereka mahukan kestabilan politik dan menolak sebarang percubaan atau tindakan mana-mana pihak yang ingin menimbulkan kekacauan dan keresahan rakyat.

Semalam, Bung Moktar mengumumkan pendirian Umno dan BN Sabah untuk menarik sokongan terhadap Hajiji susulan hilang kepercayaan terhadap kedudukannya sebagai Ketua Menteri, selain perjanjian antara BN dan Perikatan Nasional (PN) telah dilanggar.

Bung Moktar dilapor berkata BN dan PN melaksanakan perjanjian membentuk kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 2020, bagaimanapun Hajiji serta pemimpin Bersatu Sabah yang juga komponen PN, keluar parti menyebabkan kerajaan negeri sekarang tiada keabsahan.

DUN Sabah mempunyai 79 ADUN iaitu 73 yang dipilih dan enam dilantik – 29 Adun daripada GRS, Parti Warisan (19), BN (18), Pakatan Harapan (tujuh), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (tiga), manakala PAS, Parti Harapan Rakyat Sabah dan Bebas masing-masing satu kerusi.

Dalam pada itu, Jasnih ketika dihubungi pemberita berkata kerajaan Sabah dipimpin Hajiji pada masa ini perlu diberi peluang menamatkan penggal pentadbirannya pada 2025 bagi membolehkan pelan yang sedang dilaksana dapat disempurnakan.

Dr Yusof pula berkata tindakan BN Sabah menarik sokongan daripada kerajaan negeri akan menjejaskan usaha memulihkan imej BN dan Umno di mata rakyat berikutan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 lepas.

“Kita tidak mahu pemimpin BN dan Umno Sabah dilihat sebagai pembuat masalah di mata rakyat yang sudah penat dengan politik ini. Rakyat mahu kerajaan stabil yang mengatasi masalah seperti harga barang naik, tingkat ekonomi dan peluang pekerjaan,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -