Kane hampiri rekod Greaves, Forest keluar dari tiga terbawah

Matt Doherty meluahkan rasa puas setelah menjaringkan gol ketiga Tottenham Hostpur.
- Advertisement -

Harry Kane semakin menghampiri pemegang rekod jaringan Tottenham Hotspur milik Jimmy Greaves apabila membantu Spurs membelasah Crystal Palace 4-0 dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), manakala Nottingham Forest menewaskan Southampton untuk keluar dari zon penyingkiran.

- Advertisement -

West Ham United dan Leeds United yang terlibat dalam pertarungan untuk keluar dari kelompok tiga terbawah pula seri 2-2 di Elland Road. Aston Villa kendalian Unai Emery pula terikat 1-1 di laman sendiri oleh Wolverhampton Wanderers.

Kapten England, Kane membuat penampilan ke-300 dalam EPL dengan dua gol pada minit ke-48 dan 53 dalam pertembungan setempat London di Selhurst Park.

Pemain pertahanan, Matt Doherty dan Son Heung-min, masing-masing menjaringkan satu gol pada minit ke-68 dan 72 untuk pasukan pelawat ketika Palace menyerah kalah pada babak kedua walaupun mempamerkan prestasi cemerlang pada babak pertama.

Dua jaringan Kane menjadikan jumlah golnya bersama Spurs dalam semua pertandingan sebanyak 264, hanya dua di belakang jaringan Greaves untuk kelab London Utara itu.

Kemenangan ini, iaitu yang pertama sejak rehat panjang ketika Piala Dunia Qatar, melonjakkan Tottenham ke tangga kelima, dua mata kurang daripada Manchester United di tangga keempat.

“Ini adalah kemenangan yang sangat penting. Ia bagus untuk mencapai prestasi itu. Ia adalah mengenai menggerakkan bola dengan pantas, berlari di belakang dan kemudian berkualiti di sepertiga akhir perlawanan. Ia bagus untuk mengekalkan rekod bersih,” kata Kane.

Sementara itu, Taiwo Awoniyi mengeluarkan Nottingham Forest dari zon penyingkiran dengan kemenangan pertama mereka di tempat lawan musim ini ketika Southampton tenggelam untuk tewas di St Mary’s dan kekal di tangga terbawah.

 Pemain Nottingham Forest, Brennan Johnson (tengah) bersaing dengan dua pemain Southampton. – REUTERS

Saints diejek pada babak pertama dan selepas perlawanan berakhir, tidak menunjukkan tanda-tanda untuk keluar dari zon bahaya itu. Mereka kini tewas empat perlawanan pertama liga di bawah pengurus baharu, Nathan Jones dan enam perlawanan berturut-turut.

“Sebagai pemain, kami tahu dan memahami kekecewaan peminat. Namun, mereka perlu bersabar. Ini adalah skuad yang berbeza berbanding sebelum ini.

“Kami masih di peringkat awal dengan pengurus baharu dan ia akan mengambil sedikit masa. Jelas sekali bahawa masa tidak bersama kami dan kami perlu mengubahnya dengan cepat,” kata kapten Southampton, James Ward-Prowse.

West Ham berkunjung ke West Yorkshire untuk mengelak kekalahan keenam berturut-turut, sesuatu yang tidak pernah mereka alami sejak 2010.

Penyerang remaja Wilfried Gnonto memberikan Leeds pendahuluan pada minit ke-27, tetapi pasukan David Moyes bertindak balas dengan baik dan menyamakan kedudukan pada penghujung babak pertama melalui penalti Lucas Paqueta.

Hanya 44 saat selepas babak kedua bermula, Gianluca Scamacca mengejutkan Elland Road dengan gol kedua untuk West Ham. Namun Rodrigo memberikan Leeds satu mata dengan penyudah yang baik ketika perlawanan berbaki 20 minit – keputusan seri dalam pertemuan mendebarkan itu.

Wolverhampton Wanderers kekal di zon penyingkiran walaupun jaringan Daniel Podence membolehkan kelab itu mendahului hampir keseluruhan perlawanan, tetapi akhirnya terpaksa berkongsi mata dengan Aston Villa angkara penyamaan Danny Ings pada minit ke-78. – REUTERS

- Advertisement -