Lapor jika ada perjudian di sebalik premis perniagaan

- Advertisement -

ALOR SETAR: Orang ramai dinasihatkan agar terus melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat kegiatan penjualan nombor ekor atau perjudian yang berselindung di sebalik premis perniagaan lain.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, hal itu telahpun mendapat perhatiannya sebelum ini ketika berucap pada satu majlis di Guar Chempedak, Disember 2021 lalu.

“Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) telahpun menjalan operasi dan bertindak ke atas premis yang dikenal pasti menjalankan operasi perjudian haram di sebalik premis perniagaan lain,” jelasnya pada sidang media di Wisma Darul Aman, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ekoran terdapat rungutan daripada orang ramai berkenaan aktiviti judi haram yang dilihat agak berleluasa selepas kerajaan negeri mengambil keputusan menamatkan operasi premis judi.

Dalam pada itu Sanusi mengharapkan tiada terdapat mana-mana penguatkuasa yang cuba melindungi pemilik atau premis yang menjalankan kegiatan tersebut.

“Ada dari kalangan masyarakat tempatan mendakwa premis-premis yang menjalankan penjualan judi haram ini mendapat perlindungan sebahagian daripada penguatkuasa.

“Saya harap perkara ini dapat dihentikan, jangan sampai rakyat pula yang ambil tindakan terhadap penguatkuasa kerana kemarahan orang ramai terhadap premis judi haram ini sangat memuncak pada waktu ini,” kata beliau lagi.

Walau bagaimanapun, beliau mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak berkuasa yang menjalankan tanggungjawab dengan sebaiknya dan mengharapkan penguatkuasaan dapat dijalankan dari semasa ke semasa.

Di samping itu, Sanusi juga mengharapkan kerjasama daripada semua pihak agar masalah itu dapat ditangani dengan baik untuk memastikan Kedah bebas judi. – HARAKAHDAILY 4/1/2023

- Advertisement -