‘Hari ini hari mereka, belum tahu bila pula hari kita’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Hari ini hari mereka, kita belum tahu lagi bila pula hari kita,” kata Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man.

- Advertisement -

Beliau menyatakan demikian menerusi laman Facebook susulan melakukan ziarah kasih di Kampung Sungai Lik, Kuala Lipis, semalam.

Katanya, kediaman yang diziarahi iaitu rumah Che Ibrahim Che Daud, Zahrah Ismail dan Che Minah Awang Deraman.

“Masing-masing mengalami keuzuran dan kurang sihat yang memerlukan rehat secukupnya di rumah,” ujarnya.

Beliau juga menziarahi Mohd Yusoff yang merupakan pesara Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang baharu sahaja diuji dengan penyakit strok.

Bagi Tuan Ibrahim, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul beban.

“Simpati dengan keadaan beliau, saya telah menyampaikan sumbangan sebuah kerusi roda bagi memudahkan pergerakan beliau di rumah.

“Marilah kita sama-sama doakan agar mereka ini diringankan rasa sakit, diberikan kesembuhan dan dipermudahkan urusan mereka serta seluruh ahli keluarga,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Cheka.

DUN Cheka yang dimenangi beliau pada Pilihan Raya Umum ke-15 lalu merupakan satu sejarah kepada PAS Pahang bagi Zon Barat kerana pertama kali dimenangi wakil PAS menerusi PERIKATAN NASIONAL sejak negara mencapai kemerdekaan.

DUN Cheka termasuk dalam kawasan Parlimen Lipis di samping Padang Tengku dan Benta. – HARAKAHDAILY 3/1/2023

- Advertisement -