Dunia Islam 2023: Cabaran dan harapan

- Advertisement -

DUNIA Islam senantiasa menjadi idaman kuasa-kuasa besar dunia kerana mempunyai kelebihan mahupun keistimewaan yang tidak ternilai berbanding dunia lain sama ada lokasinya yang strategik ataupun kekayaan hasil buminya yang begitu banyak dan tidak ternilai harganya.

- Advertisement -

Dinamika politik dunia meletakkan Dunia Islam di persimpangan mahupun peralihan peradaban dan ketamadunan dunia. Penganalisa politik dunia meramalkan dalam masa terdekat akan timbul kuasa-kuasa baharu dunia yang pelbagai, bukan lagi kuasa besar tunggal seperti Amerika Syarikat yang dilihat sudah berada di penghujung usianya atau dua kuasa besar dunia sebagaimana ketika perang dingin antara Amerika Syarikat dan Soviet Union.

Kemunculan semula Rusia dan negara-negara yang pernah melakar sejarah ketamadunan manusia dahulu seperti China, India, Iran dan Turki meletakkan dunia di ambang pertembungan konflik besar-besaran. Sudah tentu Dunia Islam akan menjadi pentas pertembungan dan medan bagi merealisasikan agenda masing-masing untuk meluaskan pengaruh mahupun kekuasaan di serata pelosok dunia.

Perkembangan terkini yang berlaku menunjukkan Dunia Islam masih lagi diselubungi dengan pelbagai konflik sama ada ianya adalah ciptaan musuh-musuh Islam atau disebabkan kelemahan yang ada di dalam diri mereka sendiri yang tidak berkesudahan. Justeru tahun 2023 menjadi tahun yang sangat mencabar ke atas Dunia Islam.

Beberapa penganalisa politik antarabangsa meramalkan tahun 2023 bakal mencetuskan konflik-konflik yang boleh melarat kepada perang besar-besaran. Jika diteliti beberapa konflik ini yang bermula sejak tahun 2022 atau sebelumnya lagi, ia diramalkan akan merebak dengan lebih besar dalam jangka masa terdekat ini.

Konflik Perang Ukraine-Rusia

Konflik Ukraine-Rusia ini sebenarnya bermula sejak 2014 lagi apabila dilancarkan Revolusi Maidan oleh Barat untuk menumbangkan Presiden Ukraine pada ketika itu Viktor Yanukovych. Ia sebenarnya adalah bertujuan untuk mengembangkan perluasan NATO di timur Eropah di samping tujuan utamanya adalah untuk “mengepung“ Rusia dari segenap sudut di Eropah seterusnya untuk melakukan pertukaran regim dengan menumbangkan Presiden Rusia Vladimir Putin.

Setelah tumbangnya Viktor Yanukovych dan wilayah Donbass di Ukraine yang majoritinya dihuni oleh etnik Rusia mengadakan referendum untuk keluar dari Ukraine dan menjadi sebuah Republik, tentera Ukraine seterusnya melancarkan serangan ke atas wilayah Donbass dengan ditentang hebat oleh kumpulan pejuang Donbass dengan bantuan Rusia.

Rentetan daripada itu Rusia telah menakluk Crimea kerana mula merasa terancam dengan perluasan NATO yang semakin menghampiri wilayahnya. Peperangan di wilayah Donbass terhenti seketika akibat termenterainya Perjanjian Minsk I dan kemudiannya Perjanjian Minsk 2 namun Rusia akhirnya pada 24 Februari 2022 telah menceroboh dan melancarkan perang ke atas Ukraine kerana merasakan Barat tidak mengotakan janjinya dari segi keselamatan dan perluasan NATO.

Perang Ukraine-Rusia sebenarnya adalah perang proksi Barat yang diterajui oleh Amerika Syarikat dan Eropah ke atas Rusia. Namun pada ketika ini “niat“ pertukaran rejim dan melemahkan Rusia telah memakan diri Amerika Syarikat dan Eropah apabila segala sekatan yang dikenakan ke atas Rusia termasuk segala bantuan senjata dan kewangan sebenarnya telah melemahkan mereka kembali.

Ekonomi Eropah berada di ambang bahaya berhadapan dengan kemungkinan kemelesetan ekonomi yang teruk akibat kenaikan mendadak yang tinggi bahan bakar dan barangan keperluan asas. Begitu juga Amerika Syarikat yang tidak terlepas dengan kemungkinan berhadapan dengan krisis ekonomi yang teruk apatah lagi bantuan berpuluh billion dolar oleh Amerika Syarikat dan Eropah ke atas Ukraine yang telah menjejaskan kitaran ekonomi negara masing-masing.

Ekonomi Rusia langsung tidak terjejas, pengaruh Vladimir Putin semakin kuat baik di dalam Rusia mahupun di peringkat antarabangsa dan ketika ini Rusia telah “menakluk“ empat wilayah Ukraine termasuk Donbass. Menurut penganalisa ketenteraan dan geopolitik dunia, jika Rusia melancarkan serangan besar-besaran seperti yang dijangka pada musim sejuk ini, pastinya setengah atau 2/3 daripada wilayah Ukraine akan berjaya ditawan Rusia.

Namun sebenarnya impak perang Ukraine-Rusia ini terhadap Barat adalah amat besar dan jika Barat tidak dapat “menumpaskan“ Rusia, berkemungkinan besar hegemoni Barat ke atas dunia hampir pasti akan lebur. Perang tersebut sebenarnya telah menguatkan lagi kerjasama dan hubungan erat antara Rusia-China dan ia amat menggerunkan Barat.

Ia juga telah menguatkan kerjasama antara negara-negara BRICS, hubungan Rusia dengan negara-negara Kesatuan Afrika dan negara-negara Teluk ( GCC ) semakin erat dan kukuh, begitu juga dengan Turkiye, Iran, Syria, Libya dan negara – negara Asia Tengah dan Timur. Ia bukan sekadar kerjasama untuk mengukuhkan hubungan politik dan ketenteraan tetapi juga turut membabitkan kerjasama ekonomi.

Rata-rata penganalisa geopolitik dunia berpendapat bahawa jika Rusia dalam beberapa bulan lagi mampu bertahan dari sudut ekonomi, politik dan ketenteraan, terus berjaya mengukuhkan lagi hubungan pelbagai hala dengan negara-negara terbabit terutamanya China serta mampu menundukkan Ukraine dan memenangi perang proksi terhadap Barat, maka Barat akan berhadapan dengan saat – saat sukar dan berkemungkinan akan berakhirlah hegemoni Barat ke atas dunia.

Iran dan negara haram Israel

Konflik antara Iran dan negara haram Israel dijangka akan terus bergolak, pertembungan antara kedua-dua kuasa ini dijangka akan berlaku secara terbuka walaupun hakikatnya ianya sudah bermula melalui proksi masing-masing sepertimana yang berlaku di Syria, Yaman dan Iraq.

Negara haram Israel merasa terancam kerana kegagalannya mengatur strategi dalam konflik Syria sehingga mengukuhkan lagi penentang-penentangnya. Akibatnya, negara haram Israel sudah dilihat cuba memperkuatkan kedudukannya dengan melancarkan beberapa serangan di lokasi strategik di Timur Tengah.

Abdul Bari Atwaan, seorang penganalisa politik Timur Tengah menyifatkan konflik yang berlaku di Timur Tengah dengan meletakkan negara-negara di dalamnya terbahagi kepada dua kem. Kem naturalisasi atau mesra dengan negara haram Israel adalah Arab Saudi, UAE, Bahrain dan Mesir dan kem perjuangan yang menentangnya pula adalah Turki, Iran, Qatar dan proksi masing-masing iaitu HAMAS, Hizbullah, Ansarullah di Yaman dan Alhasyd Al-Sya’abi di Iraq.

Ini ditambah lagi dengan pemilihan semula Benjamin Netanyahu sebagai Perdana Menteri negara haram Israel yang dimaklumi sangat anti terhadap Iran. Dalam kenyataan terbaharunya beliau menyebut adalah menjadi keutamaannya untuk menyekat kemaraan Iran menjadi kuasa besar di rantau Timur Tengah.

India dan Pakistan

Konflik India dan Pakistan dalam isu Kashmir juga dijangka akan terus berlanjutan khususnya dengan tindakan India yang membatalkan Artikel 370 yang jelas melanggar perjanjian yang dipayungi oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Tindakan India ini dilihat sebagai permulaan kepada strategi baharu untuk menguasai sepenuhnya Jammu Kashmir dengan menterjemahkan strategi sama yang digunakan oleh negara haram Israel dengan merampas dan membina penempatan-penempatan haram Yahudi yang baharu di bumi Palestin.

Teori ini dikuatkan lagi dengan hubungan yang bertambah akrab di antara India dan negara haram Israel sejak sekian lama. Justeru tidak mustahil langkah seterusnya yang akan diambil oleh India ialah membawa seramai mungkin rakyatnya yang beragama Hindu untuk menghuni wilayah Jammu Kashmir. Persoalannya adakah Pakistan akan berdiam diri dengan tindakan ini?

Dengan kedua-dua negara ini memiliki peluru-peluru berpandu yang boleh membawa peledak atau senjata nuklear, maka tidak mustahil jika konflik antara kedua-dua negara boleh tercetus pada bila-bila masa sahaja dan akan membawa kemusnahan yang tidak terkira dahsyatnya.

Laut China Selatan

Mengimbas kembali antara senario sejarah Perang Dunia Kedua di Asia Pasifik adalah kerana perebutan Tanah Melayu antara kuasa-kuasa besar dunia yang bertujuan untuk menguasai Selat Melaka yang sangat strategik kerana menjadi penghubung laluan laut di sebelah barat dengan timur jauh dengan menghubungkan Laut China Selatan.

Tanah Melayu yang pada ketika itu berada di bawah penjajahan British berdepan dengan kebangkitan Jepun sebagai kuasa ekonomi dan ketenteraan baharu dunia yang berakhir dengan penaklukan Tanah Melayu oleh Jepun pada tahun 1942 bagi menguasai laluan laut yang strategik dan menjarah hasil buminya yang kaya.

Apa yang menarik, senario penguasaan Laut China Selatan ketika era Perang Dunia Kedua tidak jauh berbeza dengan senario politik antarabangsa pada hari ini. Malaysia yang berada di bawah pengaruh Barat khususnya Amerika Syarikat kini sedang berhadapan dengan kuasa ekonomi dan ketenteraan baharu dunia iaitu China. Justeru tidak mustahil Malaysia akan menjadi rebutan atau medan pertembungan antara dua kuasa yang sedang bertarung ini.

Jika berlaku Perang Dunia Ketiga, adalah tidak mustahil China akan menakluk Malaysia sebagaimana apa yang dilakukan oleh Jepun pada Perang Dunia Kedua. Bunga-bunga ke arah itu dapat dilihat dengan pencerobohan China ke atas Kepulauan Spratly yang menyebabkan kemarahan Amerika Syarikat.

Namun saya tertarik dengan pandangan Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika menjawab pertanyaan oleh Majalah Al-Mogtama yang berpusat di Kuwait apabila ditanya tentang kemungkinan ini. Beliau menolak kemungkinan itu kerana dalam sejarah, China tidak pernah menjajah negara lain walaupun pernah membina tamadun yang hebat, berbeza dengan imprealis Barat yang menjajah di serata dunia.

Cabaran dan kebangkitan Dunia Islam

Tahun 2023 menjadi tahun yang sangat mencabar kepada Dunia Islam yang masih lagi berada dalam kabus-kabus abad kegelapan yang bermula dari pertengahan abad 13 Hijrah sehingga ke saat ini, namun di hujung sana tetap ada cahaya kemenangan menanti yang telah menunjukkan tanda-tandanya.

Telah muncul tanda jelas wujudnya kesedaran dan kebangkitan di kalangan umat Islam dari kelekaan dan tidur yang lena. Kelekaan habuan dunia dan tipu daya musuh sejak sekian lama telah menyedarkan umat Islam bahawa mereka telah hanyut dari landasan peradaban dan ketamadunan Islam yang sebenar dan gemilang.

Dunia Islam perlu bersatu padu dan berkerjasama sama ada dari sudut politik mahupun ekonomi untuk bersinar kembali. Sudah cukup lama umat Islam terbelenggu dan bercelaru terutamanya sejak zaman kejatuhan Khalifah Uthmaniyyah. Sampai masanya Islam kembali gemilang dan terbilang,  umatnya perlu kembali kepada ajaran Islam yang sebenar serta keluar dari kegelapan mahupun kesesatan. Islam tidak akan kuat jika berpecah mahupun bercerai berai.

Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi

Mari kita ambil iktibar Hijrah Nabi Muhammad SAW ke Madinah, bagaimana baginda menyatukan kaum Muhajirin dan Ansor seterusnya membentuk Kerajaan Islam pertama di dunia yang menjadi asas kepada seluruh sejarah ketamadunan dan peradaban Islam. Bangkitlah Umat Islam, jadikanlah tahun baharu ini keazaman baharu untuk menyinari kembali Dunia Islam.

‘Malaysia Sejahtera’

YB DR MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lujnah Hal Ehwal Hubungan Luar dan Antarabangsa PAS Pusat
ADUN Batu Burok – HARAKAHDAILY 31/12/2022

- Advertisement -