Legenda bola sepak, Pele meninggal dunia pada usia 82 tahun

- Advertisement -

Pele, bintang bola sepak Brazil yang bangkit daripada kemiskinan untuk muncul sebagai antara pemain bola sepak terhebat dan terkenal dalam sejarah moden, meninggal dunia pada usia 82 tahun, semalam.

- Advertisement -

Beliau yang keluar masuk hospital dalam tempoh beberapa bulan lalu selepas ketumbuhan ditemui pada kolonnya.

Pele yang nama sebenarnya, Edson Arantes do Nascimento, menjaringkan rekod dunia 1,281 gol dan merupakan satu-satunya pemain yang pernah memenangi Piala Dunia sebanyak tiga kali.

Dengan kemahiran yang tinggi dan senyumannya, dia membantu menjadikan bola sepak sebagai sukan paling popular di dunia dan memikat hati presiden dan bintang Hollywood dalam kerjaya tujuh dekad sebagai pemain dan duta untuk sukan itu.

Dilahirkan pada 23 Oktober 1940 di bandar kecil, Minas Gerais di Tres Corações, atau “Tiga Hati”, Edson Arantes do Nascimento mempelajari permainan itu daripada bapanya, seorang pemain separuh profesional yang kerjayanya terhenti akibat kecederaan lutut.

Pele ketika bermain untuk kelab Santos di Brazil

Beberapa kisah masa mudanya dikaburkan oleh mitos, termasuk asal usul nama panggilannya yang terkenal. Seperti yang diceritakan oleh Pele, dia sering bermain sebagai penjaga gol di kawasan kejiranan dan kanak-kanak mula membandingkannya dengan pemain tempatan bernama “Bile”.

Walau apa pun kebenarannya, dia tidak lama kemudian mempesonakan pencari bakat bukan sebagai penjaga gol, tetapi sebagai penyerang nombor 10.

Dia dihormati kerana kepelbagaian bakatnya dan mengatasi mana-mana pemain sejak itu, dia boleh melakukan segala-galanya: Dia menggunakan kedua-dua kakinya, mempunyai rentak dan stamina luar biasa, dia boleh menanduk, menghantar, menewaskan lawan dan sudah tentu, boleh menjaringkan gol.

Pele menyertai Santos pada usia 15 tahun dan mengubah kelab pantai kecil itu menjadi antara nama paling terkenal dalam bola sepak.

Sepanjang tempoh 18 tahun yang cemerlang di kelab itu, dia memenangi setiap penghormatan dalam bola sepak Brazil serta dua Copa Libertadores – Liga Juara-Juara edisi Amerika Selatan serta dua Piala Antara Benua, kejohanan tahunan yang diadakan antara pasukan terbaik di Eropah dan Amerika Selatan.

Jaringan Pele ketika menentang Itali pada perlawanan akhir Piala Dunia 1970 di Mexico

Bakatnya tidak lama kemudian diiktiraf oleh pasukan kebangsaan dan dipilih menyertai skuad Brazil ke Piala Dunia 1958 di Sweden. Walaupun ahli psikologi pasukan menyifatkan pemain berusia 17 tahun itu “jelas keanak-anakan” dan menasihatkan supaya dia tidak bermain.

Pele menjaringkan hatrik dalam separuh masa di peringkat separuh akhir menentang Perancis dan dua lagi gol pada perlawanan akhir menentang pasukan tuan rumah, Sweden, sekali gus membantu Brazil merangkul kejuaraan buat kali pertama.

Kecederaan menyebabkannya hanya dapat bermain dua perlawanan dalam Piala Dunia 1962 yang dimenangi Brazil. Pada kejohanan 1970 di Mexico, Pele yang sudah matang sepenuhnya, 29 tahun, memenangi gelaran itu buat kali ketiga dengan pasukan Brazil yang dipenuhi bintang lain seperti Carlos Alberto Torres dan Tostão, dan dianggap oleh ramai orang sebagai pasukan terhebat sepanjang zaman.

“Saya beritahu diri saya sebelum perlawanan, ‘Dia diperbuat daripada kulit dan tulang seperti orang lain’,” kata Tarcisio Burgnich, pemain pertahanan Itali yang ditugaskan mengawal Pele pada perlawanan akhir 1970.

“Tetapi saya salah.”

Pele memegang trofi Piala Dunia ketika Piala Dunia 2006

BINTANG NEW YORK

Pele pada mulanya bersara pada tahun 1974, tetapi selepas mendapati bahawa wang yang dilaburnya bermasalah menyebabkannya menghadapi masalah kewangan, dia menerima tawaran pada tahun berikutnya untuk bermain dalam Liga Bola Sepak Amerika Utara yang masih baharu, tetapi berbaloi iaitu dengan bayaran AS$1 juta setahun.

Karisma Pele mempesonakan warga New York. Dia menjadi selebriti dan pernah berkongsi meja di kelab malam Studio 54 yang terkenal dengan Mick Jagger, Rod Stewart dan Andy Warhol – yang mengecualikan Pele daripada ungkapan bahawa semua orang akan mendapat kemasyhuran selama 15 minit.

“Pele adalah antara seorang daripada segelintir yang bercanggah dengan teori saya: Daripada 15 minit kemasyhuran, dia akan mempunyai 15 abad kemasyhuran,” kata artis itu.

Walaupun berada dalam suasana demikian, Pele menjauhkan diri daripada alkohol dan dadah dengan memberitahu bahawa dia perlu melindungi tubuhnya dan menjadi contoh teladan untuk kanak-kanak.

Namun, dia mengakui kelemahan lain dirinya. Dua perceraiannya dan dua anak yang diakui sebagai bapa di luar perkahwinan mencetuskan persepsi berhubung jurang antara pemain yang bersih dan individu yang sukar difahami dipanggil Edson.

Pele diiktiraf sebagai pemain bola sepak terhebat sepanjang zaman

Di padang, Pele mengetuai New York Cosmos muncul juara pada tahun 1977 dan menarik berjuta-juta penduduk Amerika Syarikat meminati sukan yang sebelum ini hampir mustahil di negara itu kerana dianggap sebagai sukan benua Eropah.

Bertahun-tahun kemudian, apabila Amerika Syarikat memenangi hak sebagai tuan rumah Piala Dunia 1994, Ketua Persekutuan Bola Sepak Amerika Syarikat menyifatkan Pele sebagai faktor paling penting kejayaan itu.

1,281 gol dalam 1,366 perlawanan seperti yang tertera dalam laman web FIFA, iaitu pada kadar 0.94 setiap perlawanan. Sebahagian daripada jaringan adalah perlawanan persahabatan atau sebagai sebahagian daripada perkhidmatan tenteranya, tetapi dia juga begitu prolifik dalam kejohanan rasmi dengan 757 gol dalam 812 perlawanan.

Pele mengalami beberapa siri masalah kesihatan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk pembedahan pinggul yang menyebabkannya mengalami kesakitan berulang dan masalah berjalan tanpa bantuan. Dia mengurangkan penampilan awamnya, tetapi kekal aktif di media sosial.

Pele meninggalkan enam orang anak, manakala seorang lagi anak yang tidak dikenalinya selama bertahun-tahun, meninggal dunia akibat kanser pada 2006. – REUTERS

- Advertisement -